Sorting by

×

KOMPLEKS BAHARU MMC PERKUKUH MELAKA SEBAGAI HAB PELANCONGAN KESIHATAN

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

BANDA HILIR 21 Julai – Pembukaan kompleks baharu Mahkota Medical Centre (MMC) bakal menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh kedudukan Melaka sebagai hab pelancongan kesihatan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, kompleks itu akan dilengkapi dengan kemudahan lebih moden dan luas, dijangka mampu menerima lebih ramai pesakit dari dalam serta luar negara.

Katanya, pembangunan kompleks baharu itu membuktikan keyakinan pelabur terhadap potensi sektor penjagaan kesihatan di negeri ini, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada pelbagai industri berkaitan.

“Sektor pelancongan kesihatan kini menjadi antara penyumbang penting kepada industri pelancongan Melaka apabila sejumlah besar pelancong luar negara memilih negeri ini bagi mendapatkan rawatan perubatan.

“Daripada kira-kira 376,000 pelancong luar negara yang direkodkan di negeri ini, seramai 37.6 peratus merupakan pelancong yang datang ke untuk mendapatkan rawatan kesihatan.

“Malah, daripada jumlah itu, kira-kira 38 peratus memilih mendapatkan rawatan di MMC sekali gus membuktikan kepercayaan tinggi terhadap hospital ini,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Blok Hospital Baharu Mahkota Medical Centre, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam; Pengerusi Eksekutif HMI Medical Dr. Gan See Khem; Ketua Pegawai Eksekutif MMC Teo Chin Yee serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, dengan kapasiti lebih besar membolehkan MMC meningkatkan jumlah pelanggan selain menawarkan pengalaman rawatan yang lebih selesa dan berkualiti.

“Kerajaan Negeri berharap pelaburan berterusan dalam sektor kesihatan akan terus memperkukuh ekosistem pelancongan kesihatan, sekali gus melonjakkan ekonomi Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

674
Kongsi :
Previous post NELAYAN PANTAI KUNDOR LEGA, ADA SINAR KEMBALI KE LAUT
Next post KEJATUHAN RUPIAH TIDAK JEJASKAN KEMASUKAN PELANCONG INDONESIA KE MELAKA