Sorting by

×

KEJATUHAN RUPIAH TIDAK JEJASKAN KEMASUKAN PELANCONG INDONESIA KE MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

BANDA HILIR 21 Julai – Kemerosotan nilai Rupiah Indonesia tidak menjejaskan kemasukan pelancong kesihatan dari negara itu ke Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, ia berikutan mutu perkhidmatan yang ditawarkan di hospital-hospital swasta di negeri ini yang membuatkan pengunjung dari negara seberang menaruh keyakinan tinggi.

Katanya, faktor kualiti rawatan dan kepakaran yang dimiliki hospital di Melaka terus menjadi tarikan utama kepada pesakit dari republik tersebut.

“Walaupun berdepan penyusutan nilai mata wang, saya yakin rakyat Indonesia tetap memilih Melaka sebagai destinasi mendapatkan rawatan kerana percaya terhadap standard perkhidmatan yang disediakan.

“Ini menunjukkan pelancongan kesihatan di Melaka kekal berdaya saing dan tidak banyak dipengaruhi faktor ekonomi semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Blok Hospital Baharu Mahkota Medical Centre, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam; Pengerusi Eksekutif HMI Medical Dr. Gan See Khem; Ketua Pegawai Eksekutif Mahkota Medical Centre Teo Chin Yee serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, daripada empat hospital swasta yang menawarkan perkhidmatan kepada pelancong kesihatan di negeri ini, Mahkota Medical Centre terus menjadi pilihan utama pesakit dari Indonesia khususnya.

“Perkara ini dibuktikan menerusi statistik kehadiran pesakit dari Indonesia yang mendapatkan rawatan di sini, ia sekali gus mengukuhkan reputasi Melaka sebagai destinasi pelancongan kesihatan serantau.

“Pada saya, kejatuhan rupiah tidak memberikan kesan kerana mereka telah menjadi pelanggan yang mempunyai keyakinan terhadap kualiti perubatan di Melaka dan buktinya mereka masih lagi datang berkunjung ke negeri ini untuk mendapatkan rawatan seperti biasa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

562
Kongsi :
Previous post KOMPLEKS BAHARU MMC PERKUKUH MELAKA SEBAGAI HAB PELANCONGAN KESIHATAN
Next post PELANCONGAN KESIHATAN MELAKA TERIMA 339,398 PENGUNJUNG SETAKAT JUN