
PELANCONGAN KESIHATAN MELAKA TERIMA 339,398 PENGUNJUNG SETAKAT JUN
BANDA HILIR 21 Julai – Seramai 339,398 pengunjung luar direkodkan menerusi sektor pelancongan kesihatan di negeri ini bagi tempoh Januari hingga Jun 2026.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, jumlah itu mengukuhkan Melaka sebagai destinasi pelancongan kesihatan utama dalam negara.
Katanya, daripada jumlah itu, Mahkota Medical Centre (MMC) merekodkan jumlah tertinggi iaitu 127,216 pelancong kesihatan bersamaan hampir 37.5 peratus daripada keseluruhan jumlah direkodkan.
“Angka ini membuktikan sektor pelancongan kesihatan di negeri ini semakin berkembang sebagai industri strategik yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, peluang pekerjaan, pembangunan tenaga profesional dan sektor pelancongan negeri.
“Melaka bukan sahaja mahu terus dikenali sebagai destinasi pelancongan yang menggamit dunia, tetapi juga mahu diyakini dunia sebagai destinasi rawatan yang berkualiti, selamat dan dipercayai.
“Dalam erti kata lain Melaka bukan hanya sebuah negeri untuk dikunjungi, tetapi juga mesti menjadi destinasi yang dipercayai apabila kesihatan dan kesejahteraan menjadi taruhan,”katanya
Beliau berkata demikian ketika berucap seterusnya menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Blok Hospital Baharu Mahkota Medical Centre, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam; Pengerusi Eksekutif HMI Medical Dr. Gan See Khem; Ketua Pegawai Eksekutif MMC Centre Teo Chin Yee serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, pencapaian MMC itu membuktikan pusat perubatan tersebut bukan sahaja menjadi antara tonggak utama sektor kesihatan swasta di Melaka, malah memainkan peranan signifikan dalam memacu perkembangan industri pelancongan kesihatan negeri.
Ab Rauf berkata, ekosistem pelancongan kesihatan Melaka kini disokong empat pusat perubatan swasta utama yang memainkan peranan penting dalam menarik pelancong kesihatan dari dalam dan luar negara.
“Semakin tinggi kepercayaan pesakit, semakin besar tanggungjawab kita untuk menyediakan kemudahan yang mencukupi, teknologi lebih maju, kepakaran lebih luas serta perkhidmatan yang sentiasa memenuhi piawaian tertinggi.
“Saya yakin perkembangan sektor ini akan terus meletakkan Melaka pada landasan lebih kukuh untuk muncul sebagai antara peneraju pelancongan kesihatan di Malaysia dan rantau ini,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


