Sorting by

×

BLOK BAHARU MMC SIAP 2028, BUKA PELUANG PEKERJAAN BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

BANDA HILIR 21 Julai – Pembinaan blok hospital baharu setinggi 10 tingkat Mahkota Medical Centre (MMC) dijangka siap pada 2028, sekali gus meningkatkan kapasiti dan keupayaan perkhidmatan kesihatan swasta di negeri ini

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pembangunan tersebut hadir tepat pada masanya bagi menghadapi peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan pada masa hadapan.

Katanya, blok baharu itu bakal dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk Unit Rawatan Rapi Wad Pintar (Smart Ward ICU) dan kemudahan parkir yang lebih luas dan besar.

“Lebih utama lagi pembinaan blok baharu ini bukan hanya tertumpu kepada pembangunan infrastruktur sebaliknya turut memberikan perhatian kepada usaha menarik dan mengekalkan bakat profesional dalam sektor kesihatan.

“Seiring dengan itu, jumlah tenaga kerja dalam bidang kejururawatan dan kesihatan bersekutu dijangka meningkat antara lima hingga 10 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap seterusnya menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Blok Hospital Baharu Mahkota Medical Centre, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam, Pengerusi Eksekutif HMI Medical Dr. Gan See Khem; Ketua Pegawai Eksekutif Mahkota Medical Centre Teo Chin Yee serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, perkembangan itu dijangka membuka lebih banyak peluang kerjaya, memperkukuh kesinambungan tenaga mahir serta memenuhi keperluan penjagaan pesakit pada masa kini dan masa hadapan.

Tambahnya, Ab Rauf turut berharap anak-anak Melaka diberikan peluang dan keutamaan sewajarnya untuk mengisi peluang kerjaya serta bidang kepakaran yang bakal diwujudkan menerusi peluasan kemudahan berkenaan.

“Kita mahu mereka anak-anak tempatan membina kerjaya di negeri sendiri, menyumbangkan ilmu di negeri sendiri dan mencurahkan kembali kepakaran kepada masyarakat serta tanah kelahiran mereka sendiri.

“Setiap pelaburan strategik dalam sektor kesihatan perlu memberikan tiga manfaat utama kepada rakyat dan negeri iaitu rakyat memperoleh akses kepada rawatan yang lebih baik dan berkualiti, kedua, anak-anak Melaka menikmati peluang kerjaya bernilai tinggi dan ketiga, negeri menerima limpahan ekonomi yang lebih luas melalui pelaburan, pekerjaan serta pertumbuhan industri pelancongan kesihatan.

“Apabila ketiga-tiga manfaat ini dapat dicapai, pembangunan yang dilaksanakan bukan sahaja akan kelihatan pada bangunan yang berdiri, tetapi benar-benar dapat dirasai dalam kehidupan rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

507
Kongsi :
Previous post PELANCONGAN KESIHATAN MELAKA TERIMA 339,398 PENGUNJUNG SETAKAT JUN
Next post DARI LESONG BATU KE PENTAS NASYID NEGARA, SOFWATUL ITTIHAD HARUMKAN NAMA MELAKA