Sorting by

×

POKOK TUMBANG HEMPAP RUMAH, ‘KAK SOM’ DAN KELUARGA SELAMAT

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

PENGKALAN BATU 22 Julai – Kediaman Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri, Datuk Kalsom Noordin di Pantai Peringgit di sini mengalami kerosakan selepas dihempap sebatang pokok besar yang tumbang awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, bahagian garaj rumah serta tiga kenderaan milik beliau turut mengalami kerosakan, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Kalsom berkata, ketika kejadian beliau sedang menunaikan solat sunat sebelum terdengar bunyi dentuman kuat dari arah luar rumah.

“Saya mendapati halaman rumah dipenuhi daun-daun daripada pokok yang tumbang. Saya kemudian menghubungi pihak bomba dan mereka tiba kira-kira jam 5.15 pagi.

“Hasil pemeriksaan mendapati pagar rumah, garaj serta tiga kenderaan terjejas akibat dihempap pokok berkenaan. Alhamdulillah ia tidak melibatkan kemalangan jiwa,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini.

Menurutnya, pokok berkenaan bersaiz besar dan dipercayai tumbang akibat cuaca buruk termasuk hujan lebat serta angin kencang yang melanda kawasan itu sejak tengah malam tadi.

Beliau berkata, kejadian itu wajar dijadikan peringatan kepada pihak berkaitan supaya meningkatkan pemantauan terhadap pokok-pokok besar di kawasan berisiko.

“Saya berharap pemeriksaan berkala dapat dilakukan terhadap pokok-pokok besar terutama yang berada berhampiran jalan raya dan kawasan kediaman bagi mengelakkan kejadian lebih buruk berlaku.

“Nasib baik pokok ini tumbang menghempap rumah dan bukannya ke atas jalan yang boleh mengancam keselamatan pengguna,” katanya.

Sementara itu, Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba Kanan 1 (PBK1) Mohd Sofian Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 5.44 pagi sebelum menggerakkan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Melaka Tengah ke lokasi kejadian.

Katanya, setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO), didapati sebatang pokok tumbang menghempap bahagian bumbung hadapan rumah pemanggil.

“Anggota bomba menjalankan kerja pemotongan batang pokok serta pembersihan kawasan bagi memastikan keadaan selamat.

“Operasi berjaya dikawal pada jam 6 pagi sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.40 pagi dan tiada mangsa dilaporkan cedera,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

653
Kongsi :
Previous post BELIA DIPELAWA JADI USAHAWAN TANI, JANA PENDAPATAN LUMAYAN DI KAMPUNG SENDIRI
Next post MPAG UBAH WAJAH TANDAS AWAM BERTARAF ‘BMW’