Sorting by

×

BELIA DIPELAWA JADI USAHAWAN TANI, JANA PENDAPATAN LUMAYAN DI KAMPUNG SENDIRI

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

MERLIMAU 22 Julai – Pertanian bukan lagi kerjaya kelas kedua, sebaliknya kini berubah menjadi teras utama keterjaminan makanan dan pemangkin ekonomi bernilai tinggi menguntungkan komuniti, negeri dan negara.

Lebih menarik apabila transformasi teknologi moden termasuk kepintaran buatan (AI) yang amat pesat turut mengubah landskap industri ini menjadi kerjaya profesional yang sangat dihormati.

Sehubungan itu Pengasas KMK Agro Global Kamarul Iqbal Ismail, mempelawa anak muda berusia bawah 40 tahun di negeri ini untuk bersama-sama meneroka bidang pertanian, sekali gus bergelar usahawan tani.

“Antara fokus kami adalah tanaman rock melon kerana permintaan terhadap produk ini sentiasa ada, namun bekalan pula yang tidak mencukupi untuk memenuhi kehendak pasaran semasa.

“Dengan beroperasinya Ladang Rock Melon, Halia & Bawang, Merlimau Pantai ini Negeri Melaka bukan sahaja menjadi sebagai menyumbang kepada keterjaminan makanan negara, malah bakal melahirkan lebih ramai usahawan tani berjaya.

“Selain mengeluarkan produk pertanian kami juga menggunakan kepakaran untuk melatih 50 anak tempatan, memberi mereka pendedahan mengendai cara menanam dan menguruskan rock melon agar boleh berdikari seterusnya mengusahakan ladang sendiri pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyempurnaan operasi Ladang Rock Melon, Halia & Bawang, Merlimau Pantai bersempena Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melimau yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, 17 Julai lalu.

Mengulas lanjut Kamarul Iqbal berkata, jika dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan mengikut teknik penanaman yang betul pengusaha rock melon boleh menuai hasil lumayan pada setiap musim.

“Inisitif ini adalah antara yang diusahakan oleh Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri merangkap Ahli Dewan Udangan Negeri (Adun) Merlimau Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh dalam merancakkan lagi sektor pertanian di Melaka.

“Usaha ini juga bertujuan mengelakkan belia berhijrah ke bandar atas faktor mencari peluang pekerjaan, sebenarnya ini adalah peluang yang boleh mereka rebut tanpa perlu meninggalkan kampung halaman sendiri,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

529
Kongsi :
Previous post MEDIPULIH PERKASA KESEJAHTERAAN 200 PEKERJA TKR MANUFACTURING
Next post POKOK TUMBANG HEMPAP RUMAH, ‘KAK SOM’ DAN KELUARGA SELAMAT