Sorting by

×

MEDIPULIH PERKASA KESEJAHTERAAN 200 PEKERJA TKR MANUFACTURING

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

PANTAI KUNDOR 22 Julai – Seramai 200 pekerja TKR Manufacturing (Malaysia) Sdn Bhd menerima Kad Rahmah Bloom Mekar sebagai inisiatif memperluas akses kepada manfaat serta perkhidmatan kesihatan menerusi program Safety and Health Month yang dianjurkan bersama Klinik MediPulih, di sini, baru-baru ini.

Ketua Strategi Korporat MediPulih Abuzar Ghifari Abd Rahman berkata, program tersebut memberi peluang kepada warga kerja menjalani pemeriksaan kesihatan selain meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pengesanan awal penyakit dan amalan gaya hidup sihat.

Katanya, antara perkhidmatan disediakan termasuk Saringan Kesihatan PEKA B40, pendaftaran dan saringan Program SEHATi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), vaksinasi influenza, pemeriksaan asas serta konsultasi bersama doktor.

“Pada program itu juga, pekerja kilang tersebut turut menerima penerangan dan penyerahan Kad Rahmah Bloom Mekar serta mengikuti ceramah kesihatan mental di tempat kerja yang disampaikan doktor daripada Klinik MediPulih.

“Penyerahan kad Rahmah Bloom Mekar ini bertujuan untuk membantu mereka mendapatkan akses kepada pelbagai manfaat dan perkhidmatan kesihatan yang di tawarkan di MediPulih,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Turut hadir pada program tersebut, Pengarah Urusan TKR Manufacturing (Malaysia) Sdn Bhd N.Paul dan Pengurus Kanan TKR Manufacturing (Malaysia) Sdn Bhd Goh David dan kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Abuzar Ghifari berkata, inisiatif itu mencerminkan usaha berterusan pihak syarikat dan Klinik MediPulih dalam memperkasa budaya penjagaan kesihatan di tempat kerja.

“Langkah ini juga adalah sebagai usaha memastikan pekerja mendapat akses lebih mudah kepada saringan, khidmat nasihat dan perkhidmatan kesihatan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

382
Kongsi :
Previous post TANAMKAN JATI DIRI BIJAK LAKSANA TUAH, BERANI LAKSANA JEBAT DALAM KALANGAN ANAK MELAKA