
80 TAHUN MELAKA FM, 80 ANAK PENYU KARAH DILEPASKAN
TANJUNG BIDARA 23 Julai – Sambutan ulang tahun ke-80 MELAKAfm diraikan penuh bermakna apabila sebanyak 80 ekor anak penyu karah dilepaskan ke habitat semula jadinya di Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu Padang Kemunting, di sini, pada Selasa.
Program anjuran Jabatan Penyiaran Melaka dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Melaka itu bukan sahaja menandakan ulang tahun bersejarah MELAKAfm dan Radio Televisyen Malaysia (RTM), malah menjadi manifestasi komitmen kedua-dua agensi dalam menyokong usaha pemuliharaan khazanah marin negara.
Pengarah Penyiaran Melaka, Siti Nurbaini Khairi berkata, pelepasan 80 anak penyu karah itu dipilih bersempena sambutan lapan dekad MELAKAfm dan RTM, selain bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memelihara spesies marin yang semakin terancam.
“Pemilihan penyu karah mempunyai kaitan rapat dengan Melaka kerana Padang Kemunting merupakan antara lokasi pendaratan penting spesies ini di negara kita.
“Tahun ini cukup bermakna apabila buat pertama kali MELAKAfm menjalinkan kerjasama strategik dengan Jabatan Perikanan Melaka bagi menjayakan program pelepasan 80 ekor anak penyu karah sempena ulang tahun ke-80 MELAKAfm dan RTM,” katanya.
Terdahulu, majlis itu turut disertai Pengarah Perikanan Negeri Melaka, Saufi Affandi Talib.
Menurut beliau, program itu mendapat sambutan menggalakkan apabila lebih 200 pengunjung termasuk pendengar setia MELAKAfm hadir menyaksikan sendiri pelepasan anak penyu karah ke laut.
Katanya, penglibatan masyarakat dalam program seumpamanya mampu menyemai rasa tanggungjawab terhadap pemuliharaan biodiversiti marin.
“Kami berharap inisiatif ini dapat meningkatkan kesedaran masyarakat, khususnya pendengar MELAKAfm, mengenai kepentingan memelihara ekosistem marin serta bersama-sama memastikan kelangsungan spesies penyu untuk generasi akan datang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


