
SMK GHAFAR BABA SEKOLAH PERINTIS PENGGUNAAN E-MEL RAKYAT
AYER KEROH 23 Julai – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ghafar Baba, Masjid Tanah dipilih sebagai sekolah rintis bagi pelaksanaan Inisiatif E-Mel Rakyat menerusi pendekatan pendigitalan pendidikan di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, penggunaan E-Mel Rakyat di sekolah tersebut membuktikan keberkesanan platform itu sebagai medium komunikasi rasmi menghubungkan sekolah, guru, murid, ibu bapa serta komuniti.
Ab Rauf yang juga bekas pelajar SMK Ghafar Baba berkata, sekolah tersebut dipilih kerana ia menunjukkan komitmen tinggi dalam membudayakan penggunaan teknologi digital dalam pengurusan dan proses pembelajaran.
“Melalui model rintis ini E-mel Rakyat menjadi salah satu komponen utama yang menghubungkan pihak sekolah, guru, murid, ibu bapa dan komuniti melalui satu saluran komunikasi rasmi.
“Lebih membanggakan sekolah ini turut membangunkan Hab Digital Pembelajaran Interaktif pertama di negeri Melaka yang menggunakan E-mel Rakyat sebagai pintu masuk rasmi,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap seterusnya menyempurnakan Majlis Perasmian E-Mel Rakyat Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah; Pegawai Kewangan negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Ketua Pegawai Digital negeri Mahanum Daim; Pengarah Pendidikan Negeri Melaka Mahfudzah Mohamed Noor serta kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, pendaftaran E-mel Rakyat dalam kalangan guru dan murid di sekolah itu telah mencapai 100 peratus, manakala proses pendaftaran ibu bapa dan penjaga sedang dilaksanakan secara berperingkat.
Katanya, pencapaian itu menunjukkan kesediaan warga pendidikan menerima transformasi digital yang bukan sahaja memudahkan komunikasi, malah membuka ruang kepada kaedah pembelajaran lebih interaktif.
“Kejayaan SMK Ghafar Baba akan menjadi contoh kepada peluasan penggunaan E-mel Rakyat di sekolah-sekolah lain bagi memperkukuhkan hubungan antara institusi pendidikan dengan komuniti,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


