KEUTAMAAN E-MEL RAKYAT KEPADA PEMEGANG MYKAD 04

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 24 Julai – Kerajaan Negeri memberi keutamaan kepada rakyat Melaka yang memegang MyKad berkod ’04’ dalam pelaksanaan awal program E-Mel Rakyat.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, langkah itu bertujuan untuk memastikan manfaat daripada inisiatif dilaksanakan terlebih dahulu dinikmati oleh rakyat negeri ini.

Katanya, setiap akaun E-Mel Rakyat adalah istimewa kerana ia menggunakan domain @melaka.my, sekali gus menjadikan Melaka terus terkehadapan dalam agenda pendigitalan rakyat di negeri ini.

“Proses pendaftaran akan disemak oleh Bahagian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (BTMK) sebelum diluluskan. Namun E-Mel Rakyat ini juga boleh diakses oleh individu bukan berasal dari Melaka tetapi bermastautin di negeri ini, jadi mereka boleh membuat permohonan.

“Bagaimanapun, kita akan dahulukan rakyat Melaka dahulu kerana proses pendaftaran itu akan ditapis oleh BTMK,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian E-Mel Rakyat Negeri Melaka yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah; Pegawai Kewangan negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Ketua Pegawai Digital negeri Mahanum Daim; Pengarah Pendidikan Negeri Melaka Mahfudzah Mohamed Noor serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Fairul Nizam berkata, pendekatan itu bertujuan memastikan pelaksanaan inisiatif berjalan secara teratur mengikut kapasiti semasa.

“Pendaftaran akan dibuka secara berperingkat kepada kumpulan sasaran lain selepas fasa awal selesai dan Kerajaan Negeri komited memastikan E-Mel Rakyat menjadi identiti digital yang memberi manfaat kepada seluruh masyarakat Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

358
Kongsi :
Previous post SMK GHAFAR BABA SEKOLAH PERINTIS PENGGUNAAN E-MEL RAKYAT
Next post E-MEL RAKYAT JADI IDENTITI DIGITAL MELAKA