E-MEL RAKYAT JADI IDENTITI DIGITAL MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 23 Julai – E-Mel Rakyat bakal menjadi asas kepada identiti digital tunggal rakyat Melaka pada masa akan datang, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Jelas beliau, asas itu identiti digital itu disasar menerusi pelaksanaan konsep Single Sign-On (SSO) secara berfasa, di mana satu akaun e-mel rakyat tersebut akan menjadi kunci capaian selamat ke pelbagai perkhidmatan atas talian Kerajaan Negeri.

Melalui pendekatan tersebut, ujar Ab Rauf, identiti digital tersebut akan membuka akses kepada pelbagai perkhidmatan Kerajaan Negeri dengan lebih mudah, lancar dan selamat.

“Bukan itu sahaja, pelaksanaannya kelak turut melibatkan integrasi dengan pelbagai sistem utama Kerajaan Negeri.

“Ini termasuklah eTAPEM, MelakaPay, Sistem Tender Online Melaka, Lembaga Perumahan Melaka (LPM) dan eTanah,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian E-Mel Rakyat Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rosli Abdullah; Pegawai Kewangan negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Ketua Pegawai Digital negeri Mahanum Daim; Pengarah Pendidikan Negeri Melaka Mahfudzah Mohamed Noor serta kenamaan lain.

Menurut Ketua Menteri, antara fokus utama pelaksanaan E-Mel Rakyat Negeri Melaka turut merangkumi Aspirasi ‘1 Rumah, 1 E-Mel Rakyat’, di mana, Kerajaan Negeri menyasarkan pendaftaran fasa awal melibatkan 85,000 Ketua Isi Rumah (KIR) merangkumi 618 buah kampung tradisional di seluruh Negeri Melaka.

Jelas beliau, ia bagi memastikan setiap keluarga mempunyai identiti komunikasi rasmi Kerajaan Negeri.

“Pada masa sama, fokus turut terarah kepada Integrasi Sistem Kampung Digital, dengan E-Mel Rakyat diselaraskan secara strategik bersama Sistem Kampung Digital bagi memperkasakan penyampaian perkhidmatan dan bantuan di peringkat akar umbi,” tambah beliau.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

976
Kongsi :
Previous post KEUTAMAAN E-MEL RAKYAT KEPADA PEMEGANG MYKAD 04