NRES IKTIRAF POTENSI BESAR ZOO MELAKA SEBAGAI IKON PELANCONGAN

Masa Membaca:2 Minit, 5 Saat

AYER KEROH 24 Julai – Zoo Melaka berpotensi muncul sebagai antara destinasi pelancongan utama negara menerusi pelbagai usaha penambahbaikan fasiliti dan pemerkasaan program konservasi hidupan liar yang sedang giat dilaksanakan.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, potensi itu direalisasikan menerusi kerjasama erat antara Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) serta pengurusan Zoo Melaka dalam memperkukuh aspek pemuliharaan dan pengalaman pengunjung.

Menurut beliau, lawatan kerja yang diadakan bersama pegawai kementerian dan PERHILITAN ke Zoo Melaka bertujuan meninjau sendiri kemudahan yang disediakan selain melihat perkembangan program konservasi spesies hidupan liar di zoo berkenaan.

“Saya melihat Zoo Melaka mempunyai potensi yang amat tinggi untuk terus berkembang sebagai salah satu tarikan pelancongan utama.

“Antara penambahbaikan yang telah dilaksanakan ialah pendigitalan sistem e-tiket bagi memudahkan kemasukan pengunjung, selain penyediaan fasiliti mesra orang kurang upaya (OKU) seperti laluan landai (ramp) yang menjadikan zoo ini lebih inklusif dan selesa untuk semua.

“Pada masa sama, usaha konservasi di Zoo Melaka juga semakin diperkasakan dari semasa ke semasa. Justeru, Kerajaan Persekutuan menerusi NRES bersama PERHILITAN akan terus memberikan kerjasama dan sokongan bagi memastikan Zoo Melaka terus berkembang sebagai destinasi pelancongan dan pusat konservasi hidupan liar yang unggul,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas mengadakan lawatan kerja ke Zoo Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha NRES, Datuk Wira Anis Rizana Mohd Zainudin; Ketua Pengarah PERHILITAN Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim; Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri (CMI), Datuk Ahmad Azlan Ahmad Salleh serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Arthur berkata Zoo Melaka bukan sekadar destinasi rekreasi, malah memainkan peranan penting sebagai pusat pemuliharaan spesies hidupan liar yang diancam kepupusan.

Katanya, spesies seperti Harimau Malaya dan kambing gurun memerlukan perhatian berterusan menerusi program pembiakan dan pemuliharaan yang sistematik.

“Kerajaan menerusi NRES akan terus bekerjasama dengan Zoo Melaka serta zoo-zoo lain bagi memastikan kemudahan dan fasiliti yang dibangunkan dapat menyokong program pembiakan spesies terancam.

“Kita juga akan memperkukuh kerjasama dengan PERHILITAN supaya spesies yang bersesuaian dapat ditempatkan di Zoo Melaka, sekali gus memperkayakan koleksi hidupan liar di sini dan memastikan khazanah biodiversiti negara terus dipelihara untuk generasi akan datang,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata Program Pembiakan Harimau Malaya Dalam Kurungan (MyBIT) yang diterajui PERHILITAN menunjukkan perkembangan memberangsangkan dalam usaha meningkatkan populasi spesies ikonik negara itu.

“Usaha meningkatkan populasi Harimau Malaya menunjukkan perkembangan yang positif dan bilangannya semakin meningkat. Angka rasmi mengenainya akan diumumkan dalam masa terdekat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

927
Kongsi :
Previous post MPHTJ BAKAL TUBUH UNIT ELIT PENGUATKUASA
Next post MAIM LANCAR TABUNG SAHAM WAKAF MASJID DESA TUN ALI