MPHTJ BAKAL TUBUH UNIT ELIT PENGUATKUASA

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

AYER KEROH 24 Julai – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menerusi Jabatan Penguatkuasaan bakal menubuhkan Unit Elit Penguatkuasa tidak lama lagi.

Yang Dipertua MPHTJ Datuk Sapiah Haron berkata, unit itu ditubuhkan bertujuan menjalankan aktiviti risikan, operasi penguatkuasaan berisiko serta kawalan keselamatan anggota ketika menjalankan operasi.

Jelas beliau, sepanjang tahun ini, Jabatan Penguatkuasaan MPHTJ telah bergerak aktif dengan melaksanakan pelbagai operasi bersepadu bersama rakan strategik, sekali gus mencerminkan komitmen dalam memastikan kesejahteraan warga Hang Tuah Jaya.

“Saya difahamkan hampir 17 operasi bersepadu telah digerak membabitkan pelbagai operasi termasuk kebersihan, halangan awam, kacau ganggu, kenderaan dan hiburan.

“Selain itu, jabatan ini turut bertindak agresif menjalankan tindakan pelupusan kenderaan terbiar sekitar 146 kenderaan dan kira-kira 24 buah motosikal.

“Malah, jabatan ini juga giat menjalankan aktiviti tundaan ke atas kenderaan terbiar yang telah Tamat Tempoh Matang Notis Pengalihan dan sehingga Jun 2026, sejumlah 64 buah kenderaan telah ditunda daripada kira-kira 500 notis pengalihan telah dikeluarkan oleh jabatan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Pentadbiran MPHTJ bulan Julai 2026 di Atrium Luar Kompleks Melaka Mall, di sini, pada Rabu.

Menurut Sapiah, Jabatan Penguatkuasaan MPHTJ di bawah urus tadbir Pengarahnya, Kamarulzaman Abdul Rahman turut mewujudkan pasukan Task Force Kutipan Tunggakan yang telah berjaya melaksanakan kaedah kutipan tunggakan lebih teratur dan berkesan.

Jelas beliau, setakat Januari hingga 19 Julai tahun ini, pasukan tersebut telah berjaya mengutip lebih RM106,000 tunggakan di bawah pentadbiran MPHTJ.

“Justeru, saya berharap, jabatan ini terus aktif dan mencari banyak hasil, selain melaksanakan penambahbaikan dalam setiap perancangan dari semasa ke semasa,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

830
Kongsi :
Previous post PERALIHAN KEPADA TENAGA BOLEH BAHARU JADIKAN MELAKA NEGERI LESTARI