
PERALIHAN KEPADA TENAGA BOLEH BAHARU JADIKAN MELAKA NEGERI LESTARI
GADEK 24 Julai – Peralihan kepada sumber tenaga boleh baharu bukan lagi satu pilihan, tetapi aspek penting bagi sesebuah industri yang mahu terus kekal berdaya tahan, relevan dan kompetitif.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif memperkasakan tenaga boleh baharu oleh Honda Malaysia menerusi sistem Solar Photovoltaic (PV) adalah antara usaha yang perlu dicontohi.
“Pelaburan RM14 juta menerusi projek tenaga boleh baharu kini menjadi aspek penting dalam operasi harian Honda Malaysia. Sistem ini melibatkan pemasangan 8,960 panel solar pada bumbung kilang dan mampu mencapai kapasiti 5.6 megawatt peak (MWp).
“Sistem ini dijangka mampu menjana sekitar 7,042 megawatt-jam (MWh) sumber elektrik boleh baharu, iaitu membekalkan 10 peratus daripada sumber tenaga diperlukan di kemudahan pengeluran Honda di Pegoh ini.
“Selain itu projek ini juga mampu mengurangkan hampir 4,584 tan pelepasan karbon setahun,” katanya Ketua Menteri ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Solar Photovoltaic (PV) Honda Malaysia di Honda Malaysia Sdn Bhd, Kawasan Perundustrian Hicom, Pegoh, di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti negeri Datuk Kalsom Noordin; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek Datuk VP Shanmugam serta Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin.
Yang turut hadir Pegawai Kewangan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia Sdn Bhd Narushi Yazaki; Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia Sdn Bhd Ir Sarly. Adle Sarkum serta kenamaan lain.
Ab Rauf berkata, peralihan Melaka sebagai sebuah negeri yang lestari tidak boleh dilakukan sendirian, sebaliknya perlu disokong pemain industri, penyedia teknologi, pelabur dan pengguna tenaga boleh baharu sendiri.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

