MAIM LANCAR TABUNG SAHAM WAKAF MASJID DESA TUN ALI

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

BUKIT KATIL 24 Julai – Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) melancarkan tabung saham wakaf bagi membiayai dana pengambilan tapak untuk cadangan pembinaan Masjid Baharu Desa Tun Ali.

Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad berkata, tabung saham wakaf adalah platform terbaik untuk mengumpul dana bagi proses pengambilan tanah dianggar melibatkan kos antara RM3 juta hingga RM6 juta.

“Fokus utama MAIM ketika ini adalah mengumpul dana bagi proses pengambilan tapak terlebih dahulu sebelum urusan selanjutnya, berikutan itu jawatankuasa penaja dalam usaha mengutip dana.

“Bagi merealisasikan usaha ini kami amat mengalu-alukan orang ramai untuk tampil berwakaf. Sesungguhnya berwakaf ini akan menjadi satu pahala kepada penyumbang,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Tabung Saham Wakaf Masjid Baharu Desa Tun Ali yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam di Surau Nur As-Sakinah, Taman Bukit Katil Damai II, hari ini.

Hadir sama, Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan, Mufti Kerajaan Negeri Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil dan Pengurus Baitulmal MAIM, Mohd Hairulamin Mohd Sis.

Menurut Shaifulfazlee, pembinaan masjid baharu itu adalah satu keperluan berikutan kemudahan sama berhampiran ketika ini menampung kapasiti jemaah yang tinggi khusus setiap kali Solat Jumaat.

“Penduduk di kawasan ini kini dianggarkan mencecah kira-kira 5,000 orang dan jumlah itu dijangka terus meningkat. Justeru, pembinaan masjid baharu adalah satu keperluan bagi menyediakan kemudahan ibadah yang lebih selesa kepada masyarakat setempat.

“Untuk pembinaan masjid itu kita sudah mengenal pasti beberapa lokasi strategik antaranya berdekatan dengan Sekolah Kebangsaan (SK) Tun Razak,” katanya.

Jelas beliau, individu atau pihak yang ingin berwakaf boleh berbuat demikian secara terus ke akaun Tabung Saham Wakaf MAIM menerusi Bank Islam Malaysia Berhad (04015010088870).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

645
Kongsi :
Previous post NRES IKTIRAF POTENSI BESAR ZOO MELAKA SEBAGAI IKON PELANCONGAN
Next post PASAR JASIN BERWAJAH BAHARU, LEBIH MODEN DAN KONDUSIF