PASAR JASIN BERWAJAH BAHARU, LEBIH MODEN DAN KONDUSIF

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

JASIN 24 Julai – Pembinaan Pasar Jasin baharu yang dijangka siap pada penghujung September depan bakal menempatkan 54 peniaga dengan persekitaran yang lebih kondusif.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) Muhammad Zahiruddin Mohd Zahari berkata, apabila siap kelak pasar baharu itu bukan hanya memberi keselesaan kepada peniaga tetapi juga masyarakat setempat yang berkunjung ke premis berkenaan.

Beliau berkata, berbanding premis lama, pasar baharu itu menawarkan persekitaran perniagaan yang lebih tersusun serta moden.

“Pembinaan pasar baharu ini sedang berjalan dan ia dijangka siap pada September sebelum dapat beroperasi sepenuhnya.

“Premis ini akan dilengkapi dengan 54 gerai. Daripada jumlah itu 40 unit adalah gerai basah manakala 12 unit gerai jualan kering dan dua unit lagi bagi jualan kuih-muih,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Terdahulu, Muhammad Zahiruddin bersama Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bemban, Mohd Raziff Yakop mengadakan sesi perjumpaan bersama peniaga dan lawatan tapak bagi meninjau kemajuan naik taraf pasar berkenaan.

Menurutnya, premis baharu itu turut menampilkan beberapa pembaharuan berbanding pasar sedia ada termasuk mempunyai ruang niaga yang beroperasi 24 jam di bahagian luar bangunan.

“Selain kemudahan asas seperti surau dan tandas untuk kemudahan peniaga serta pengunjung, turut disediakan tempat pengecas kenderaan elektrik (EV charger).

“Penyediaan kemudahan berkenaan bukan sahaja memberi nilai tambah kepada pasar baharu tersebut malah dijangka merancakkan lagi aktiviti ekonomi setempat selain memenuhi keperluan pengunjung yang semakin meningkat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

725
Kongsi :
Previous post MAIM LANCAR TABUNG SAHAM WAKAF MASJID DESA TUN ALI