
ZOO MELAKA TERUS JADI ‘PELINDUNG’ HARIMAU MALAYA
AYER KEROH 25 Julai – Zoo Melaka terus memperkukuh komitmennya dalam usaha konservasi Harimau Malaya menerusi penganjuran Sambutan Hari Harimau Sedunia 2026 yang bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan memelihara spesies itu yang kian terancam.
Pegawai Sains Zoo Melaka, Muhammad Rafiq Jasmi berkata, sambutan itu bukan sekadar acara tahunan, bahkan menjadi platform mendidik masyarakat, selain mengetengahkan pelbagai usaha pemuliharaan yang dilaksanakan Zoo Melaka.
Katanya, sambutan itu turut mengajak komuniti bersama-sama memahami situasi semasa Harimau Malaya serta memainkan peranan dalam memastikan kelangsungan spesies berkenaan.
“Objektif utama sambutan ini adalah untuk memupuk nilai konservasi dalam kalangan masyarakat, di samping memperkenalkan usaha-usaha pemuliharaan yang dijalankan Zoo Melaka terhadap Harimau Malaya dan hidupan liar terancam lain.
“Kita mahu masyarakat lebih cakna bahawa konservasi bukan hanya tanggungjawab agensi kerajaan atau zoo semata-mata, tetapi memerlukan sokongan semua pihak,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Menurutnya, berdasarkan dapatan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) bersama agensi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan, populasi Harimau Malaya di habitat liar kini dianggarkan kurang daripada 150 ekor atas pelbagai faktor, antaranya pemecahan kawasan hutan (fragmentasi) dan pemburuan haram.
Katanya lagi, situasi itu amat membimbangkan memandangkan Harimau Malaya bukan sahaja spesies yang menjadi kebanggaan negara, malah merupakan identiti Malaysia yang terpahat pada Jata Negara serta digunakan secara meluas sebagai simbol pelbagai institusi serta sukan.
Atas faktor itu, ujarnya, Zoo Melaka turut memainkan peranan penting dalam menjayakan Program Pembiakan Harimau Malaya Dalam Kurungan (MyBIT) yang dilaksanakan PERHILITAN bagi meningkatkan populasi Harimau Malaya melalui pembiakan secara semula jadi dalam persekitaran ex-situ atau dalam kurungan.
“Zoo Melaka terlibat secara rasmi dalam program MyBIT sejak 2024 dan mengukuhkan kerjasama dengan PERHILITAN menerusi pemeteraian Memorandum Perjanjian pada 15 Jun lalu.
“Seekor Harimau Malaya jantan milik Zoo Melaka kini menjadi induk pembiakan dalam program itu dan dipasangkan dengan Harimau Malaya betina daripada zoo lain yang turut menyertai MyBIT.
“Fasiliti Zoo Melaka juga digunakan bagi menempatkan Harimau Malaya dari zoo lain untuk tujuan pembiakan dan hasil kerjasama ini telah merekodkan beberapa siri kelahiran anak Harimau Malaya,” ujarnya.
Tambahnya, Zoo Melaka akan terus memainkan peranan untuk melindungi Harimau Malaya dan pada masa sama mendidik masyarakat agar bersama-sama memelihara spesies tersebut dalam memastikan ia tidak hanya tinggal nama kepada generasi akan datang.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

