
31 OGOS: PPSPM SIAP SEDIA TERIMA LONJAKAN PENGUNJUNG
DUYONG 25 Julai – Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) menjangkakan antara 5,000 hingga 10,000 pengunjung akan mengambil peluang menaiki Melaka River Cruise sempena tawaran kemasukan percuma ke produk pelancongan terpilih pada 31 Ogos depan.
Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Shaharul Azuar Idris berkata, jumlah itu berdasarkan penilaian trend kunjungan semasa Melaka Bila Larut Malam yang merekodkan hampir 2,000 pengunjung dalam tempoh antara 11 malam hingga 2 pagi.
Beliau berkata, kemasukan percuma dijangka meningkatkan lagi jumlah pengunjung yang memilih untuk menikmati pelayaran di Sungai Melaka termasuklah pelayaran di Tasik Chinchin menerusi Eco Cruise Tasik Chinchin.
“Pastinya dengan tawaran kemasukan percuma ini akan ada lonjakan kehadiran pengunjung yang mana kami sasarkan antara 5,000 hingga 10,000 orang akan mengambil peluang menaiki Melaka River Cruise termasuk Eco Cruise Tasik Chinchin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Sijil Malaysia Book Of Records (MBOR) Dan Hadiah Pemenang Sempena Festival Sungai Melaka 2026 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Dataran Pengkalan Rama, di sini, baru-baru ini.
Menurut Shaharul Azuar, pihaknya telah bersiap sedia dalam pelbagai aspek termasuk penugasan kakitangan dan penyediaan bot bagi memastikan kelancaran perkhidmatan serta keselesaan pengunjung sepanjang menikmati pelayaran Melaka River Cruise.
“Sememangnya untuk kemasukan percuma nanti kami sudah bersiap sedia bukan sahaja dengan kakitangan tetapi juga penyelarasan operasi. Kita mahu memastikan kelancaran selain pengunjung tidak beratur atau menunggu terlalu lama.
“Malah persediaan dari aspek keselamatan turut diberi perhatian supaya mereka yang memilih Melaka River Cruise dapat mengukir kenangan manis sepanjang pelayaran menelusuri Sungai Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


