ZOO MELAKA, PPSPM LANCAR BOT HARIMAU MALAYA

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

AYER KEROH 25 Julai – Zoo Melaka terus memperkukuh jaringan kerjasama strategik bersama Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) menerusi pelancaran bot bertemakan corak Harimau Malaya.

Pengarah Zoo Melaka Dr. Zahidah Izzati Zeid berkata, inisiatif itu merupakan kesinambungan kolaborasi antara kedua-dua pihak selepas kejayaan memperkenalkan bot bertemakan kuda belang yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung Melaka River Cruise.

Katanya, bot bertemakan Harimau Malaya itu juga adalah simbolik kepada sambutan Hari Harimau Sedunia 2026 dan menjadi medium mempromosikan kepentingan pemuliharaan spesies ikonik negara itu kepada masyarakat.

“Kerjasama ini bukan sekadar mempromosikan Zoo Melaka tetapi menghubungkan produk pelancongan di negeri ini yang mana kita mahu pelancong menaiki bot Melaka River Cruise turut berkunjung ke Zoo Melaka dan menikmati pengalaman berbeza di dua destinasi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Program Sambutan Hari Harimau Malaya Sedunia 2026 yang disempurnakan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman di Zoo Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri (CMI), Datuk Ahmad Azlan Ahmad Salleh; Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Melaka Nurshirah Mustapha; Pegawai Undang-Undang Negeri Melaka Datuk Khairul Azreem Mamat; Pengarah Tanah dan Galian Negeri Melaka Datuk Noraini Tawel serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Dr. Zahidah Izzati berkata, menerusi kerjasama itu, pengunjung yang menaiki bot bertema khas tersebut berpeluang menikmati diskaun sebanyak 10 peratus bagi pembelian tiket masuk ke Zoo Melaka dengan hanya mengimbas kod QR yang disediakan dan memenuhi syarat ditetapkan.

Katanya, sebelum ini, kempen sama telah dilaksanakan menerusi bot bertemakan kuda belang dan menerima maklum balas positif apabila berjaya menggalakkan pengunjung mengunjungi kedua-dua lokasi pelancongan dalam satu perjalanan.

“Melaka mempunyai pelbagai produk pelancongan menarik jadi kita mahu wujudkan kolaborasi antara tarikan pelancongan supaya pelawat tidak hanya singgah di satu lokasi sebaliknya meneroka lebih banyak destinasi ketika berada di negeri ini.

“Zoo Melaka akan terus memperluaskan kerjasama dengan agensi pelancongan negeri bagi memperkukuh ekosistem pelancongan Melaka sekali gus menyokong usaha Kerajaan Negeri menarik lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Melaka 2.0,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

747
Kongsi :
Previous post WRUR PANTAI KUNDOR: KES DENGGI MELAKA TURUN 45.5 PERATUS, SIFAR KEMATIAN
Next post TYT HAYATI MAGIS CINTA QAIS DAN LAILA DI PANGGUNG BANGSAWAN