
WRUR PANTAI KUNDOR: KES DENGGI MELAKA TURUN 45.5 PERATUS, SIFAR KEMATIAN
PANTAI KUNDOR 25 Julai – Melaka merekodkan penurunan 45.51 peratus kes demam denggi bagi tempoh sehingga Minggu Epidemiologi (ME) ke-28 yang berakhir pada 18 Julai lalu apabila hanya 364 kes dilaporkan berbanding 668 kes bagi tempoh sama tahun lalu.
Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri, Datuk Ngwe Hee Sem berkata, lebih membanggakan, negeri ini tidak merekodkan sebarang kematian akibat denggi sepanjang tempoh berkenaan.
Menurut beliau, daripada jumlah keseluruhan kes yang direkodkan, Daerah Melaka Tengah mencatatkan 199 kes dengan tiga lokaliti wabak terkawal.
“Walaupun seluruh negara sedang berdepan peningkatan ketara kes demam denggi, Melaka berjaya mencatatkan trend yang memberangsangkan apabila sehingga Minggu Epidemiologi ke-28 yang berakhir pada 18 Julai 2026, sebanyak 364 kes denggi direkodkan tanpa sebarang kematian.
“Jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 304 kes atau 45.51 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Komuniti Bebas Denggi (KOMBED) Dan 1 Hour Malaysia Clean Up Peringkat Daerah Melaka Tengah Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor di Balai Raya Terbuka Taman Tanah Merah Jaya, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim serta lain-lain kenamaan.
Hee Sem berkata, pencapaian itu hasil kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan masyarakat dalam melaksanakan langkah pencegahan secara berterusan.
Bagaimanapun, katanya, usaha membanteras nyamuk Aedes tidak boleh dipandang ringan kerana ancaman denggi masih wujud dan memerlukan penglibatan aktif seluruh komuniti.
“Usaha memerangi nyamuk Aedes memerlukan tindakan semua pihak, khususnya komuniti. Nyamuk Aedes boleh membiak walaupun dalam takungan air yang kecil di dalam atau di sekitar rumah. Sebab itu pencegahan tidak boleh bergantung kepada aktiviti fogging semata-mata,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai disaran mengamalkan pemeriksaan dan pembersihan kawasan rumah secara konsisten sekurang-kurangnya satu jam setiap minggu bagi memastikan tiada tempat pembiakan nyamuk Aedes.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

