1,000 NELAYAN MELAKA TERIMA ALAT PENGESAN IKAN BERMULA HUJUNG OGOS

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

AYER KEROH 25 Julai – Kira-kira 1,000 nelayan berdaftar di Melaka dijangka menerima peranti Global Positioning System (GPS) dan alat pengesan ikan (fish finder) secara berperingkat selewat-lewatnya penghujung Ogos ini

Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, proses perolehan peralatan berkenaan telah selesai dan kini hanya menunggu penghantaran daripada pembekal sebelum diagihkan kepada semua nelayan yang layak.

Menurut beliau, penggunaan teknologi moden dalam sektor perikanan itu bertujuan membantu nelayan meningkatkan hasil tangkapan dan pendapatan mereka.

“Insya-Allah selewat-lewatnya penghujung Ogos nanti, semua nelayan berdaftar di Melaka akan dilengkapi dengan GPS dan alat pengesan ikan (fish finder).

“Dunia hari ini semakin maju, jadi kita juga mahu membantu nelayan meningkatkan pendapatan dengan menggunakan teknologi sedia ada. Alat pengesan ikan ini membolehkan mereka mengenal pasti lokasi ikan dengan lebih tepat dan seterusnya memperoleh hasil tangkapan yang lebih baik berbanding kaedah konvensional,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh merasmikan Melaka Agrofest 2026 di Dataran Sejarah Ayer Keroh, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Datuk Saiful Hazwa Kipli; Pengarah Pertanian Negeri Melaka Rozli Azizi Talib; Pengarah Perikanan Negeri Melaka Saufi Affandi Talib; Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Melaka Nor Azhar Abdul Hamid serta lain-lain kenamaan.

Dr. Muhamad Akmal berkata, setiap set peralatan itu dianggarkan bernilai antara RM1,100 hingga RM1,200, dengan keseluruhan inisiatif melibatkan peruntukan kira-kira RM1 juta yang dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri.

Selain bantuan teknologi, katanya, Kerajaan Negeri turut memperluaskan perlindungan sosial kepada komuniti nelayan apabila semua nelayan laut, nelayan darat serta awak-awak bot yang berdaftar di Melaka kini dicarum di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bermula tahun ini.

Menurut beliau, bagi nelayan yang telah mencarum sebelum ini, Kerajaan Negeri akan menyalurkan bayaran secara tunai, manakala mereka yang belum mencarum akan didaftarkan terus di bawah PERKESO.

“Kita mahu mereka (nelayan dan awak-awak) turun ke laut dengan lebih tenang kerana tahu mereka mempunyai perlindungan sekiranya berlaku sebarang kemalangan ketika bekerja,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3051
Kongsi :
Previous post CIKO, ZANA DAN PIA JADI DUTA KONSERVASI HARIMAU MALAYA ZOO MELAKA