
CIKO, ZANA DAN PIA JADI DUTA KONSERVASI HARIMAU MALAYA ZOO MELAKA
AYER KEROH 25 Julai – Tiga Harimau Malaya yang menghuni Zoo Melaka iaitu Chiko, Zana dan Pia terus memainkan peranan penting sebagai ‘duta konservasi’ dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pemuliharaan spesies ikonik negara yang kini dianggarkan berbaki kurang 150 ekor di habitat liar.
Pengarah Zoo Melaka, Dr. Zahidah Izzati Zeid berkata, ketiga-tiga Harimau Malaya berusia antara 14 hingga 16 tahun itu bukan sahaja menjadi tarikan utama pengunjung, malah berperanan sebagai medium pendidikan awam mengenai kepentingan melindungi spesies terancam selain menyokong program pembiakan dalam kurungan.
Menurutnya, sempena Sambutan Hari Harimau Sedunia 2026 yang diraikan pada 29 Julai setiap tahun, Zoo Melaka terus komited melaksanakan pelbagai inisiatif pemuliharaan menerusi Kempen Selamatkan Harimau Malaya serta program pembiakan bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).
“Usaha ini amat penting memandangkan populasi Harimau Malaya di habitat semula jadi merosot secara drastik daripada kira-kira 1,000 ekor pada tahun 1970-an kepada kurang 150 ekor ketika ini akibat pemburuan haram dan kemusnahan habitat.
“Melalui Sambutan Hari Harimau Sedunia 2026, Zoo Melaka menghimpunkan lapan agensi kerajaan, Kerajaan Negeri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menggerakkan pelbagai aktiviti pendidikan serta kesedaran mengenai kepentingan memelihara Harimau Malaya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Program Sambutan Hari Harimau Sedunia 2026 yang disempurnakan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman di Zoo Melaka, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri (CMI), Datuk Ahmad Azlan Ahmad Salleh; Pengarah PERHILITAN Negeri Melaka, Nurshirah Mustapha; Pegawai Undang-Undang Negeri Melaka, Datuk Khairul Azreem Mamat; Pengarah Tanah dan Galian Negeri Melaka, Datuk Noraini Tawel serta kenamaan lain.
Dr. Zahidah Izzati berkata, sambutan itu diisi dengan pelbagai program interaktif seperti Tiger Enrichment, pertandingan melukis poster Hari Harimau Sedunia, ceramah interaktif, pameran, kuiz, aktiviti mewarna serta program pendidikan yang memberi pendedahan kepada pengunjung mengenai usaha pemuliharaan Harimau Malaya.
Katanya, pendekatan berkenaan diharap dapat menyemai kesedaran dalam kalangan masyarakat bahawa kelangsungan hidup Harimau Malaya memerlukan komitmen semua pihak.
“Zoo Melaka bukan sekadar destinasi rekreasi dan pelancongan, malah terus memperkukuh fungsinya sebagai pusat konservasi yang menyokong agenda nasional dalam melindungi spesies terancam menerusi penyelidikan, pendidikan awam dan program pembiakan terkawal.
“Sambutan Hari Harimau Sedunia yang diperkenalkan pada 2010 hasil persetujuan 13 negara habitat harimau menjadi platform antarabangsa untuk menggerakkan usaha pemuliharaan secara bersepadu. Zoo Melaka akan terus memainkan peranan dalam memastikan kesedaran mengenai pemuliharaan Harimau Malaya terus diperkasakan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


