
TYT HAYATI MAGIS CINTA QAIS DAN LAILA DI PANGGUNG BANGSAWAN
BANDARAYA MELAKA 25 Julai – Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam hadir menyaksikan pementasan Teater Muzikal Qais dan Laila di Panggung Bangsawan, di sini, malam tadi.
Tun Dr. Mohd Ali tiba di perkarangan Panggung Bangsawan kira-kira jam 8.40 malam dan disambut Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka, Ezlina Alias serta kenamaan lain.
Kehadiran beliau mencerminkan komitmen dalam menyokong pembangunan industri seni tempatan, khususnya bidang teater yang menjadi medium penting dalam menyampaikan nilai budaya, sejarah dan mesej kemasyarakatan kepada generasi masa kini.
Pementasan yang berlangsung pada 24 dan 25 Julai itu berjaya menghidupkan kembali legenda cinta agung Qais dan Laila menerusi gabungan lakonan, muzik serta elemen dramatik yang memukau, sekali gus meninggalkan kesan mendalam kepada lebih 400 penonton yang hadir.
Sepanjang hampir tiga jam pementasan, penonton dibawa menyelami perjalanan cinta Qais dan Laila yang penuh dengan pengorbanan, kerinduan dan penderitaan sehingga Qais dikenali sebagai Majnun yang membawa maksud ‘gila’ kerana terlalu larut dalam cintanya.
Setiap babak dipersembahkan dengan kemas menerusi kekuatan lakonan dan susunan muzikal yang berjaya membangkitkan pelbagai emosi, selain membawa penonton memahami sisi lebih mendalam kisah legenda berkenaan.
Menariknya, produksi arahan Lokman Ghani itu tidak hanya mengangkat kisah percintaan klasik antara dua insan, malah memberikan tafsiran baharu apabila cinta Qais dan Laila diterjemahkan sebagai perjalanan kerohanian menuju kecintaan kepada Yang Maha Esa.
Pendekatan tersebut menjadikan naskhah berkenaan lebih dekat dengan jiwa penonton menerusi mesej ketulusan, pengorbanan dan nilai spiritual yang diketengahkan.
Barisan pelakon yang terdiri daripada Datuk Jalaluddin Hassan, Ashraf Muslim, Raja Ema, Syahir Syafein, Isyariana dan Rashid Din turut memberikan persembahan mantap menerusi penghayatan watak yang berjaya menghidupkan emosi setiap babak.
Teater Muzikal Qais & Laila dianjurkan oleh Persatuan Teater Malaysia (PERTEM) dengan sokongan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Melaka serta Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sebagai usaha berterusan memperkasa seni teater tempatan serta memastikan khazanah budaya terus berkembang merentas generasi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

