BANJIR: SKUAD TOK RAUF GERAKKAN BANTUAN SEGERA, AGIH 2,000 PEK MAKANAN

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

PENGKALAN BATU 25 Julai – Skuad Tok Rauf menggerakkan misi bantuan segera dengan mengagihkan 2,000 pek makanan bermasak kepada mangsa banjir di beberapa kawasan di negeri yang terkesan susulan hujan lebat berterusan awal pagi tadi.

Setiausaha Khas Hal Ehwal Masyarakat Kepada Ketua Menteri Datuk Muhammad Ahyad Abdullah berkata, sumbangan makanan bermasak berupa set nasi dan kari ayam itu bagi membantu mangsa banjir yang terjejas.

Menurut beliau, misi bantuan Skuad Tok Rauf itu akan digerakkan ke kawasan yang dinaiki air antaranya di Pengkalan Batu, Pantai Kundor, Lereh, Tengkera serta Limbongan.

“Untuk misi ini sebanyak 2,000 pek makanan bermasak disediakan dan diagihkan kepada mangsa banjir di kawasan terjejas bagi memudahkan mereka mendapatkan bekalan makanan.

“Makanan ini dimasak secara gotong-royong oleh anggota Skuad Tok Rauf sebelum digerakkan ke beberapa lokasi dan diserahkan kepada wakil Japerun
untuk dihantar terus ke setiap rumah mangsa,” katanya kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di Masjid Ar-Razzaaq, Bachang, di sini, hari ini.

WhatsApp Image 2026 07 25 at 4.25.32 PM
ANTARA bantuan yang digerakkan Skuad Tok Rauf untuk mangsa banjir di negeri ini.

Menurutnya, Skuad Tok Rauf akan terus memantau perkembangan semasa dan bersedia menggerakkan bantuan sekiranya keadaan banjir berlarutan.

“Kami sentiasa bersedia untuk membantu dalam apa situasi terutamanya ketika bencana, bagi memastikan kebajikan rakyat sentiasa diberi perhatian.

“Ini selaras dengan gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRA) yang oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.

Setakat jam 3 petang tadi, seramai 15 mangsa banjir telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di Japerun Pantai Kundor, manakala PPS SK Serkam Darat sedang dibuka pendaftaran bagi menempatkan mangsa banjir.

Susulan hujan lebat yang berlaku sejak tengah malam tadi, sebanyak 12 kawasan dinaiki air membabitkan daerah Melaka Tengah dan Jasin.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

676
Kongsi :
Previous post ‘BAWANG MELAKA’ BAKAL DIPERKENALKAN
Next post CIKO, ZANA DAN PIA JADI DUTA KONSERVASI HARIMAU MALAYA ZOO MELAKA