MENCAPAI USIA DUA DEKAD, TRANSFORMASI SAMB JAMIN KEPERLUAN AIR MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

AYER KEROH 26 Julai – Penjenamaannya kepada Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) pada 2006 bukan sekadar perubahan pada nama dan struktur organisasi, sebaliknya menggambarkan transformasi besar dalam memperluas sistem bekalan air, memperkukuh infrastruktur dan memodenkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, sepanjang dua dekad SAMB telah berkembang kepada sebuah syarikat utiliti strategik yang menjadi antara tonggak utama kesejahteraan rakyat dan pembangunan Negeri Melaka.

Katanya kini, transformasi itu diteruskan menerusi pengurusan air pintar atau ‘SMART Water Management’ melalui pemantauan data berpusat dan masa nyata, meter pintar, automasi loji, pemantauan jarak jauh dan e-billing.

“Tahun 2026 menandakan genapnya 20 tahun penubuhan SAMB, namun legasi perkhidmatan air di negeri ini telah bermula sejak 1972 menerusi Lembaga Air Melaka, diikuti Perbadanan Air Melaka pada 1996 dan kini dikenali sebagai SAMB.

“Pada 2006, SAMB mengendalikan enam loji rawatan air dan hari ini, jumlahnya meningkat kepada 13 buah loji, melibatkan lebih 370,000 akaun pengguna dan kira-kira 6,000 kilometer rangkaian paip di Neluruh negeri Melaka,” kata Ketua Menteri ketika berucap pada Majlis Hari Keluarga SAMB 2026 di Pusat Dagangan antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka Datuk Khairul Azreem Mamat; Timbalan Pengerusi SAMB Datuk Roslan Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif SAMB Datuk Mohd Saleh Jusman serta Ahli-Ahli Lembaga Pengarah SAMB.

Ab Rauf berkata, perkembangan ini bukan sahaja memperlihatkan perluasan operasi SAMB malah membawa tanggungjawab yang semakin besar.

Menurutnya setiap loji yang beroperasi dan setiap rangkaian paip yang dibangunkan bukan sekadar aset, tetapi menjadi nadi yang memastikan kediaman, sekolah, hospital, perniagaan serta kawasan perindustrian dapat terus berfungsi dan berkembang.

“Oleh itu, saya merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada seluruh warga kerja SAMB sempena Sambutan Ulang Tahun ke-20. Ulang tahun ini bukan sekadar menandai usia sebuah organisasi, tetapi menjadi simbol kematangan, ketahanan dan keupayaan SAMB dalam menjamin keperluan air negeri Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

438
Kongsi :
Previous post TOK RAUF RAIKAN LEBIH 2,000 WARGA SAMB DAN AHLI KELUARGA
Next post SAMB LAKSANA PROJEK ‘WASTEWATER TREATMENT PLANT’, PASTIKAN BEKALAN CUKUP HINGGA 2035