
TOK RAUF RAIKAN LEBIH 2,000 WARGA SAMB DAN AHLI KELUARGA
AYER KEROH 26 Julai – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh meraikan lebih 2,000 kakitangan Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dan ahli keluarga masing-masing pada Majlis Hari Keluarga SAMB 2026 di Pusat Dagangan antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Lebih istimewa apabila penganjuran majlis itu juga adalah bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-20 tahun SAMB yang ditubuhkan pada Julai 2006.
Ab Rauf berkata, meskipun berbeza tugas dan tanggungjawab, seluruh warga kerja SAMB tetap bergerak sebagai satu pasukan dengan satu amanah, iaitu mendahulukan kepentingan rakyat.
“Saya tahu, ada yang bekerja pada waktu malam, hujung minggu dan cuti umum, ada juga yang meredah hujan dan panas demi memulihkan bekalan secepat mungkin. Kepada seluruh anggota kerja SAMB saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas usaha, komitmen dan pengorbanan saudara serta saudari dalam menunaikan amanah kepada rakyat Melaka.
“Penghargaan yang sama saya tujukan kepada pasangan, anak-anak dan seluruh ahli keluarga anda semua. Terima kasih kerana sentiasa memahami, mendoakan dan menjadi kekuatan kepada warga SAMB dalam melaksanakan tanggungjawab mereka,” kata Ketua Menteri ketika berucap pada majlis itu.
Hadir sama Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka Datuk Khairul Azreem Mamat; Timbalan Pengerusi SAMB Datuk Roslan Ahmad, Ketua Pegawai Eksekutif SAMB Datuk Mohd Saleh Jusman serta Ahli-Ahli Lembaga Pengarah SAMB.
Katanya, perjalanan SAMB masih panjang, harapan rakyat semakin tinggi, perubahan iklim semakin mencabar dan keperluan air terus meningkat seiring pembangunan Negeri Melaka yang pesat ketika ini.
“Justeru, besar harapan saya agar seluruh warga SAMB terus bergerak sebagai satu pasukan dan berpegang pada satu matlamat bagi membina SAMB sebagai sebuah syarikat utiliti air yang moden, dan berdaya saing,” katanya.
Pada majlis sama Ketua Menteri turut meluangkan masa beramah mesra bersama warga SAMB, menyampaikan penghargaan kepada kakitangan cemerlang dan hadiah kepada pemenang pertandingan serta hadiah utama cabutan bertuah iaitu sebuah kereta Proton Saga.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

