WRUR PANTAI KUNDOR: KOMBeD PERKASA KOMUNITI CEGAH DENGGI

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

PANTAI KUNDOR 26 Julai – Penubuhan Komuniti Bebas Denggi (KOMBeD) menjadi antara pendekatan penting Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memperkasakan masyarakat untuk mengenal pasti risiko, merancang tindakan pencegahan serta memastikan kebersihan persekitaran dilaksanakan secara berterusan.

Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem berkata, menerusi pendekatan itu, penduduk bukan lagi sekadar menerima maklumat berkaitan pencegahan denggi, bahkan menjadi penggerak utama dalam melindungi keluarga dan komuniti setempat daripada ancaman penyakit bawaan nyamuk Aedes.

Selain itu, ujar beliau, Program 1 Hour Malaysia Clean turut diperkenalkan sebagai langkah susulan menggalakkan penglibatan aktif komuniti dalam aspek pembersihan kawasan persekitaran.

“Program ini mengajak kita meluangkan sekurang-kurangnya satu jam untuk memeriksa halaman rumah, membuang bekas yang boleh menakung air, mengurus sampah dan barang lusuh serta membersihkan saliran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Komuniti Bebas Denggi (KOMBED) Dan 1 Hour Malaysia Clean Up Peringkat Daerah Melaka Tengah Sempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor di Balai Raya Terbuka Taman Tanah Merah Jaya, di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Timbalan Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Kundor Datuk Tuminah Kadi @ Mohd Hashim serta lain-lain kenamaan.

Dalam pada itu, Hee Sem berharap jawatankuasa KOMBeD Taman Tanah Merah Jaya terus aktif melaksanakan pemeriksaan persekitaran, gotong-royong, pendidikan kesihatan dan tindakan susulan secara berkala bagi memastikan sifar denggi dilaporkan di kawasan tersebut.

“Usaha ini diharapkan dapat diperluaskan di lokaliti lain bagi memastikan kes denggi dapat dikawal dan dicegah dengan sebaiknya.

“Saya juga menyeru semua agensi kerajaan dan bukan kerajaan berganding bahu dalam memastikan kebersihan persekitaran bersih dengan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang penyakit denggi,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

423
Kongsi :
Previous post MELAKA PELAWA PETANI USAHA TANAH TERBIAR, LPS PERCUMA SETAHUN
Next post TOK RAUF RAIKAN LEBIH 2,000 WARGA SAMB DAN AHLI KELUARGA