
SUKAN MELAKA LAHIRKAN BAKAT BAHARU, MEDAN PEMANAS BADAN ATLET SUKMA
PAYA RUMPUT 27 Julai – Seramai 492 atlet akan membawa nama Melaka pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 di Selangor yang bermula 15 hingga 24 Ogos depan.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, apa yang membanggakan adalah apabila majoriti atlet yang akan mewakili negeri ini ke SUKMA nanti adalah mereka yang cemerlang atau bergelar johan pada penganjuran Sukan Melaka.
Katanya, perkembangan itu menjadi bukti bahawa penganjuran Sukan Melaka bukan sekadar medan pertandingan antara Dewan Undangan Negeri (DUN) sebaliknya menjadi landasan penting untuk mengenal pasti bakat baharu yang mampu mengharumkan nama negeri di pentas lebih tinggi.
“Hasil yang dicapai hari ini merupakan kesinambungan usaha Kerajaan Negeri membangunkan sukan secara menyeluruh bermula dari peringkat komuniti sehingga melahirkan atlet yang layak menyarung jersi negeri.
“Sukan Melaka bukan diwujudkan semata-mata untuk mencari juara pada hari ini, tetapi kita mahu melahirkan lebih ramai atlet yang mampu mengangkat nama Melaka di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Sukan Melaka 2026 Piala YAB Ketua Menteri dan Peluncuran WRUR DUN Paya Rumput di Stadium Hang Jebat, di sini, semalam.
Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam serta barisan Exco, Timbalan Exco dan kenamaan lain.
Pada majlis tersebut, Ab Rauf turut menyerahkan bendera Melaka kepada wakil atlet negeri ke temasya SUKMA dan Para SUKMA.
Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, Sukan Melaka sejak diperkenalkan empat tahun lalu acara itu telah berkembang menjadi platform yang berjaya mencungkil ramai atlet berpotensi sekali gus memperkukuhkan program pembangunan sukan negeri secara berterusan.
“Pendekatan membawa pertandingan ke peringkat DUN memberi peluang lebih luas kepada anak muda di kawasan bandar dan luar bandar untuk mempamerkan bakat tanpa perlu menunggu kejohanan besar.
“Daripada gelanggang rakyat, kita lahirkan juara, daripada setiap DUN, kita angkat nama Melaka.
“Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh ekosistem pembangunan sukan dengan memastikan bakat yang dikenal pasti melalui Sukan Melaka diberikan latihan, pendedahan dan sokongan sewajarnya supaya mampu menjadi pelapis kepada atlet negeri pada masa hadapan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


