DUN SERKAM JUARA KESELURUHAN SUKAN MELAKA 2026

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

PAYA RUMPUT 27 Julai – Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam muncul juara keseluruhan Sukan Melaka 2026, sekali gus menjulang Piala Utama YAB Ketua Menteri Melaka selepas mengungguli temasya itu menerusi kutipan satu pingat emas dan satu pingat perak.

Hadiah kemenangan telah disampaikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh diiringi Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam serta barisan Exco, Timbalan Exco dan kenamaan lain.

Kejayaan itu melengkapkan saingan Sukan Melaka 2026 yang menghimpunkan hampir 10,000 penyertaan dari seluruh negeri, sekali gus membuktikan kemampuan DUN Serkam menampilkan prestasi paling cemerlang menerusi pingat emas dalam acara badminton dan perak bagi acara futsal.

Ketua Menteri berkata, kemenangan yang diraih bukan sekadar membuktikan kehebatan atlet di gelanggang, malah menjadi simbol kesungguhan setiap DUN dalam membangunkan bakat sukan di peringkat akar umbi.

Katanya, setiap atlet yang bertanding sama ada berjaya membawa pulang pingat atau sebaliknya telah mempamerkan semangat juang tinggi demi mengharumkan nama DUN masing-masing.

β€œAda yang berjaya membawa pulang pingat, ada pula yang terhenti hanya selangkah daripada kemenangan.

β€œNamun setiap titik peluh, setiap pengorbanan dan keberanian untuk turun membawa nama DUN masing-masing tetap menjadi sebahagian daripada kejayaan besar Sukan Melaka 2026,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Sukan Melaka 2026 Piala YAB Ketua Menteri dan Peluncuran Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Paya Rumput di Stadium Hang Jebat, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Ab Rauf turut merakamkan penghargaan kepada Majlis Sukan Negeri Melaka (MSNM) selaku penganjur yang berjaya mengendalikan kejohanan bermula di peringkat DUN sejak 24 Mei lalu sehingga kemuncak pertandingan.

Katanya, penganjuran Sukan Melaka bukan hanya bertujuan mencari juara, sebaliknya menjadi platform menyatukan rakyat selain mencungkil bakat baharu yang mampu mengharumkan nama Melaka pada kejohanan lebih tinggi.

β€œKerajaan Negeri akan terus memperkasa agenda pembangunan sukan supaya lebih ramai atlet muda dapat diketengahkan bagi mewakili Melaka dan negara pada masa depan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

412
Kongsi :
Previous post SUKAN MELAKA LAHIRKAN BAKAT BAHARU, MEDAN PEMANAS BADAN ATLET SUKMA