
HARI LANDSKAP NEGARA ANTARA LEBIH 120 PROGRAM WARNAI WRUR DUN PAYA RUMPUT
PAYA RUMPUT 27 Julai – Lebih 120 acara bakal mewarnai Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput selama dua minggu bermula 26 Julai sehingga 8 Ogos depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin berkata, antara pengisian utama adalah penganjuran Sambutan Hari Landskap Negara Peringkat Kebangsaan 2026 yang bakal disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Rais yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata, WRUR DUN Paya Rumput adalah edisi terakhir bagi daerah Melaka Tengah.
“Sepanjang WRUR DUN Paya Rumput ini pelbagai pengisian telah dirancang melibatkan aspek kebajikan, pendidikan, kesihatan, sukan, keagamaan, keusahawanan serta penyampaian perkhidmatan Kerajaan Negeri bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati semua lapisan masyarakat.
“Antara pengisian terbesar yang disusun ialah Sambutan Hari Landskap Negara Peringkat Kebangsaan 2026 yang akan berlangsung di Stadium Hang Jebat bermula 6 hingga 9 Ogos nanti.
“Insya-Allah, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyatakan persetujuan untuk hadir menyempurnakan perasmian Sambutan Hari Landskap Negara pada 7 Ogos,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup dan Penyampaian Hadiah Sukan Melaka 2026 Piala YAB Ketua Menteri dan Peluncuran WRUR DUN Paya Rumput yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di Stadium Hang Jebat, semalam.
Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Belia, Sukan dan NGO negeri Datuk VP Shanmugam serta barisan Exco, Timbalan Exco Kerajaan Negeri dan kenamaan lain.
Mengulas lanjut, Rais berkata, sambutan peringkat kebangsaan itu dilaksanakan serentak dengan WRUR DUN Paya Rumput dan pastinya akan menjadi antara tarikan utama kepada rakyat Melaka serta pengunjung dari luar negeri.
Tambah Rais, selain acara besar tersebut, WRUR DUN Paya Rumput turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk Forum Perdana, Konsert Rakyat, Konsert Nasyid, pameran agensi kerajaan, kaunter perkhidmatan serta pelbagai aktiviti kekeluargaan yang terbuka kepada orang ramai.
“Kita telah merangka pelbagai program dan perancangan untuk rakyat DUN Paya Rumput dan saya memberi jaminan kami akan memberikan yang terbaik sepanjang pelaksanaan WRUR ini.
“Saya berharap seluruh rakyat DUN Paya Rumput dan rakyat Melaka dapat hadir memeriahkan setiap program yang telah disusun. Doakan juga agar saya diberikan kesihatan dan kekuatan untuk menjayakan WRUR DUN Paya Rumput demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

