ZOO MELAKA PERKASA MISI SELAMATKAN HIDUPAN LIAR

Masa Membaca:1 Minit, 55 Saat

AYER KEROH 27 Julai – Zoo Melaka terus memperkukuh peranannya sebagai pusat pendidikan konservasi menerusi pelbagai inisiatif kesedaran bagi melindungi Harimau Malaya, spesies ikonik negara yang kini berdepan ancaman kepupusan.

Usaha itu diperkasakan menerusi Program Sambutan Hari Harimau Sedunia 2026 yang dianjurkan bagi memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai kepentingan memelihara dan memulihara hidupan liar negara.

Pengarah Zoo Melaka, Dr. Zahidah Izzati Zeid berkata, sambutan tahun ini diadakan lebih awal berbanding tarikh rasmi Hari Harimau Sedunia pada 29 Julai bagi memberi peluang lebih ramai pengunjung menyertainya memandangkan ia berlangsung pada hujung minggu.

Menurut beliau, program itu bukan sekadar meraikan spesies berkenaan, malah menjadi platform pendidikan untuk meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai cabaran yang dihadapi Harimau Malaya.

“Kita mengambil peluang pada hujung minggu untuk menarik lebih ramai pengunjung datang ke Zoo Melaka. Objektif utama bukan sekadar meraikan Hari Harimau Sedunia, tetapi memberi pendidikan kepada masyarakat mengenai kepentingan memelihara spesies ini yang semakin terancam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Program Sambutan Hari Harimau Malaya Sedunia 2026 yang disempurnakan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman di Zoo Melaka, di sini, pada Sabtu.

Hadir sama, Pengurus Besar Perbadanan Ketua Menteri (CMI), Datuk Ahmad Azlan Ahmad Salleh; Pengarah PERHILITAN Melaka, Nurshirah Mustapha; Pegawai Undang-Undang Negeri Melaka, Datuk Khairul Azreem Mamat; Pengarah Tanah dan Galian Negeri Melaka, Datuk Noraini Tawel serta kenamaan lain.

Dr. Zahidah Izzati berkata, pelbagai aktiviti disusun sepanjang program berkenaan termasuk pertandingan doodle bertemakan ‘Selamatkan Harimau Malaya’ melibatkan kanak-kanak, pameran pendidikan serta penglibatan agensi dan rakan strategik dalam menyampaikan mesej konservasi.

Katanya, walaupun keadaan cuaca hujan menyebabkan beberapa aktiviti luar dipindahkan ke dalam bangunan, sambutan pengunjung tetap menggalakkan dan program berjalan lancar.

“Setiap program berkaitan hidupan liar yang kita anjurkan mempunyai mesej tersendiri. Kita mahu masyarakat mengenali spesies yang terdapat di Malaysia serta memahami mengapa ia perlu dipelihara untuk generasi akan datang,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Zoo Melaka akan terus menjadikan sambutan berkaitan hidupan liar seperti Hari Gajah Sedunia dan Hari Tapir Sedunia sebagai medium pendidikan kepada masyarakat menerusi aktiviti interaktif yang melibatkan semua peringkat umur.

Katanya, kesedaran awam merupakan elemen penting dalam memastikan usaha konservasi dapat diteruskan selain memperkukuhkan peranan Zoo Melaka bukan sahaja sebagai destinasi pelancongan dan rekreasi keluarga, tetapi juga sebagai pusat pendidikan konservasi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

404
Kongsi :
Previous post HARI LANDSKAP NEGARA ANTARA LEBIH 120 PROGRAM WARNAI WRUR DUN PAYA RUMPUT