
BENGKEL ‘THRIVE LITTLE ONE’ YAKULT BANTU IBU BAPA TAMBAH ILMU
JOHOR BAHRU 27 Julai – Seramai 110 ibu bapa menyertai Bengkel ‘Thrive Little One with Yakult’ anjuran Yakult (Malaysia) Sdn. Bhd. yang berlangsung di Grand Paragon Hotel di sini, sekali gus membuktikan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan awal bayi dan kesihatan usus semakin meningkat.
Program separuh hari itu dianjurkan sebagai platform pendidikan kepada ibu bapa mengenai kepentingan penjagaan dalam tempoh 1,000 hari pertama kehidupan bayi, selain memberi pendedahan tentang peranan probiotik dalam membantu proses pemulihan ibu selepas bersalin.
Menerusi bengkel itu, peserta didedahkan dengan pelbagai ilmu daripada pakar dalam bidang pemakanan, penyusuan dan penjagaan bayi bagi membantu ibu bapa membuat keputusan yang lebih baik dalam membesarkan anak.
Pegawai Sains Pemakanan Klinik Kesihatan Taman Cendana, Maslina, membuka sesi perkongsian menerusi tajuk ‘Perut Ceria, Anak Hebat: Pemakanan 1,000 Hari Pertama Kehidupan Ibu dan Bayi’, yang menekankan kepentingan pemakanan seimbang sejak kehamilan sehingga anak berusia dua tahun.
Sesi diteruskan oleh Kaunselor Laktasi Bertauliah, Nad Masrom, menerusi slot ‘The Art of Breastfeeding & Baby Care’, yang berkongsi panduan penyusuan susu ibu serta penjagaan bayi secara praktikal.
Turut mencuri perhatian ialah demonstrasi masakan kreatif oleh Pegawai Perhubungan Awam Yakult (Malaysia), Aliff, yang memperkenalkan pelbagai cara mudah untuk menggabungkan Yakult dalam pemakanan harian keluarga.
Sementara itu, Pengarah Bersekutu Bahagian Perhubungan Awam dan Sains Yakult (Malaysia) Sdn. Bhd., Mazlyn Mena Mustapha berkata, komitmen syarikat dalam memperkasakan kesihatan masyarakat sentiasa berpaksikan penyelidikan saintifik serta kualiti produk.
“Komitmen kami di Yakult berakar umbi daripada penyelidikan saintifik yang kukuh dan dedikasi terhadap kualiti. Strain Lacticaseibacillus paracasei Shirota (LcS) di dalam Yakult telah menjadi subjek kajian saintifik selama berdekad-dekad, membuktikan keupayaannya untuk terus hidup dalam saluran pencernaan dan menyumbang kepada persekitaran usus yang lebih kuat. Ini berkait rapat dengan kesejahteraan menyeluruh, termasuk buat ibu dan bayi,” katanya.
Walaupun bengkel itu dipacu sepenuhnya oleh Yakult selaku penganjur utama, kejayaannya turut disokong oleh pelbagai jenama yang berkongsi aspirasi dalam memperkukuh institusi kekeluargaan.
Antara penaja yang menjayakan program berkenaan ialah Applecrumby, Buds Organics, Hello Doktor, Mama’s Choice, Love Earth, Libresse, Pikalula, GNUBKINS, ZenXin Organic, Momcozy, Mom More Milk, zΓ©ramom, The Little Gym, Softlove x Sally, Numom dan Drypers.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

