CHARITY RIDE PDRM-IPSC SUPER SANTUNI 10 PESARA POLIS DI MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

AYER KEROH 21 Ogos – Program Konvoi ‘Charity Ride’ Kontinjen Negeri Sembilan bersama Ipoh Superbike Club (IPSC) sempena Sambutan Hari Polis ke-219 dan Sambutan Ambang Merdeka ke-69 menyantuni 10 pesara polis di Melaka.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata program berkenaan bukan kali pertama dianjurkan, sebaliknya memasuki tahun keempat selepas dimulakan pada 2021.

“Tujuan program ini diadakan untuk memberi sumbangan kepada pesara-pesara polis. Pada hari ini kita dapat saksikan di Melaka sahaja kita telah beri sumbangan kepada 10 orang pesara polis.

“Dan juga tidak lupakan kepada Persatuan Keluarga Polis (PERKEP), selain menyemarakkan lagi ukhuwah antara pihak polis dan masyarakat serta menaikkan semangat menjelang Hari Kemerdekaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program Konvoi ‘Charity Ride’ Kontinjen Negeri Sembilan bersama Ipoh Superbike Club (IPSC) sempena Sambutan Hari Polis ke-219 dan Sambutan Ambang Merdeka ke-69 di Dewan Serbaguna, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, di sini.

Terdahulu, Dzulkhairi melakukan pelepasan kira-kira 150 peserta konvoi yang bergerak menghala ke Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur.

Menurut Dzulkhairi, peserta konvoi berkenaan bergerak dari seluruh Malaysia dengan kontinjen Melaka menjadi persinggahan terakhir, iaitu kontinjen ke-12.

“Anggaran jumlah motosikal yang hadir pada hari ini adalah selama 150 orang. Mereka ini bergerak daripada seluruh Malaysia dan kontinjen Melaka merupakan kontinjen terakhir yang mereka singgah, iaitu kontinjen yang ke-12.

“Mereka bergerak dari utara, selatan, timur dan seluruh Melaka dan akan berakhir petang ini di PULAPOL,” katanya.

Program berkenaan berlangsung lebih tujuh hari sebelum acara perasmian penutup diadakan di PULAPOL Kuala Lumpur dan dijangka disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

4001
Kongsi :
Previous post TUN DR. MOHD ALI SEMPURNAKAN PERASMIAN MASJID AL-MUKMINUN SERI MENDAPAT
Next post ZAKAT RIQAB MAIM BANTU ‘ORANG DISELIA’ BINA HIDUP BAHARU