ZAKAT RIQAB MAIM BANTU ‘ORANG DISELIA’ BINA HIDUP BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

MERLIMAU 21 Ogos – Sebanyak RM70,000 daripada peruntukan zakat Riqab Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) disalurkan bagi merealisasikan Kafe Riqab Pusat Koreksional Jasin, sekali gus membuka ruang kepada Orang Diselia (ODS) membina kemahiran dan keyakinan sebelum kembali ke pangkuan masyarakat.

Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad berkata, Kafe Riqab bukan sekadar menyediakan ruang menjual makanan dan minuman, bahkan menjadi platform latihan dan pemulihan bagi ODS menerusi pengalaman bekerja dalam suasana lebih tersusun dan profesional.

Katanya, projek berkenaan menelan kos keseluruhan RM100,000 dengan RM30,000 merupakan komitmen Pusat Koreksional Jasin, manakala RM70,000 disalurkan menerusi peruntukan zakat Riqab MAIM.

“Proses pemulihan seseorang tidak berakhir selepas tempoh hukuman selesai. Cabaran sebenar bermula apabila mereka kembali ke pangkuan keluarga dan masyarakat.

“Mereka perlu mempunyai ilmu, kemahiran, disiplin dan kemampuan untuk mendapatkan pekerjaan atau membina sumber pendapatan sendiri,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Perasmian Kafe Riqab Pusat Koreksional Jasin, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengurus Baitulmal MAIM, Mohd Hairulamin Mohd Sis; Pengarah Pusat Koreksional Jasin, Penolong Kanan Komisioner Penjara Shaharudin Ahmad dan Penolong Setiausaha Bahagian Pembangunan Insan MAIM, Zuraini Bibi Mohamed Yusoff.

Shaifulfazlee berkata, seramai 60 ODS sebelum ini terlibat dalam pengoperasian kantin dan dapur penyediaan makanan di Pusat Koreksional Jasin, sekali gus mempunyai asas pengalaman yang boleh dikembangkan menerusi Kafe Riqab.

Katanya, ODS yang terlibat turut didedahkan kepada kemahiran penyediaan makanan, kebersihan, layanan pelanggan, pengurusan masa, disiplin kerja, pengurusan kos serta amanah dalam menjalankan perniagaan.

“Pemilihan lokasi kafe di luar tembok pusat koreksional membuka ruang interaksi dengan masyarakat untuk mengikis stigma dan membina semula keyakinan.

“Pemulihan tidak boleh berlaku di sebalik tembok sahaja. Pemulihan memerlukan penerimaan masyarakat. Kafe Riqab ini adalah satu langkah kecil dari segi fizikal, tetapi mempunyai makna yang besar dari sudut reintegrasi sosial,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

430
Kongsi :
Previous post CHARITY RIDE PDRM-IPSC SUPER SANTUNI 10 PESARA POLIS DI MELAKA
Next post HARI KEBANGSAAN MELAKA: 30 BAS, 90 VAN SHUTTLE PERCUMA MUDAHKAN ORANG RAMAI