MISI 100 HARI CIKGU MUS DI DURIAN TUNGGAL: SELESAI ADUAN TERTUNGGAK, BELA PESAKIT TERLANTAR

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

SERI NEGERI 20November – Menyelesaikan aduan rakyat yang tertunggak serta memastikan golongan rentan, khususnya pesakit terlantar, mendapat bantuan sewajarnya menjadi antara keutamaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk Dr. Mustafa Musa dalam misi 100 hari pertamanya.

Beliau berkata, tumpuan itu diberikan bagi memastikan setiap permasalahan yang dibangkitkan penduduk, terutama membabitkan kebajikan dan keperluan asas, tidak terus terbiar tanpa tindakan penyelesaian.

Menurutnya, Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan DUN (JAPERUN) akan digerakkan secara lebih proaktif dengan meneliti semula aduan yang masih tertunggak, termasuk permohonan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang belum mendapat penyelesaian.

“Saya merencanakan dalam tempoh 100 hari ini untuk menyelesaikan masalah dan aduan rakyat yang terkumpul di JAPERUN.

“Khususnya berkaitan keperluan pemohon bantuan kebajikan, bantuan JKM, pesakit terlantar serta kawasan rendah yang sering dilanda banjir,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian selepas perjumpaan bersama semua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) Melaka di Bilik Tun Mutahir, Kompleks Seri Negeri, di sini, pada Rabu.

Bagi memastikan tiada golongan yang memerlukan tercicir daripada perhatian, Mustafa turut mahu Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) memainkan peranan lebih aktif sebagai penghubung antara penduduk dengan pihak JAPERUN serta agensi berkaitan.

Katanya, JPKK perlu segera mengenal pasti dan menyalurkan maklumat mengenai penduduk yang terlantar atau memerlukan bantuan kebajikan supaya tindakan susulan dapat diambil tanpa kelewatan.

“Sebab itu saya menggerakkan JPKK supaya semua masalah yang berlaku di kampung dapat disampaikan kepada saya atau JAPERUN.

“Jika ada insan terlantar yang memerlukan bantuan, maklumat itu perlu disalurkan kepada pihak kebajikan supaya kita dapat membantu mereka,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Mustafa berkata, beliau sudah mengadakan mesyuarat rasmi pertama bersama kakitangan JAPERUN sebagai langkah awal menyusun gerak kerja dan mengenal pasti keutamaan pentadbiran di peringkat DUN.

Beliau turut merancang mengadakan pertemuan dengan semua Pengerusi JPKK serta pemegang taruh dalam masa terdekat bagi mendapatkan maklum balas secara langsung mengenai isu setempat dan memastikan setiap aduan rakyat diberi perhatian sewajarnya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

178
Kongsi :
Previous post INFRASTRUKTUR SEKOLAH AGAMA, KEPERLUAN GURU JADI FOKUS RAIS