
RIDZUAN MULAKAN TUGAS EXCO DENGAN KUNJUNG HORMAT KE TIGA JABATAN
SERI NEGERI 20 November – Muhammad Ridzuan Mohd Sarif akan mengadakan kunjung hormat ke tiga jabatan berkaitan pertanian, alam sekitar dan penternakan sebagai langkah pertama selepas dilantik sebagai Exco Pertanian, Alam Sekitar dan Pengurusan Bencana Melaka.
“Pertamanya, pastinya kunjung hormat dengan jabatan-jabatan yang terlibat.
“Dan saya perlu mendapatkan segala maklumat dan info semasa yang terkini berkaitan tiga jabatan terlibat di bawah pertanian, alam sekitar dan penternakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, pada majlis yang berlangsung di Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, Seri Negeri, di sini, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Katil itu berkata, maklumat yang ingin diperoleh daripada tiga jabatan berkenaan meliputi pertanian, alam sekitar dan penternakan.
“Kita harapkan bagi portfolio ini, terutamanya bagi jabatan-jabatan yang terlibat, kita harap dapat lebih baik dan dapat memberikan komitmen yang tertinggi, terutamanya untuk kebajikan dan kebaikan rakyat negeri Melaka,” katanya.
Muhammad Ridzuan turut menzahirkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh atas kepercayaan yang diberikan kepadanya.
“Pertamanya, syukur alhamdulillah kerana saya diberikan kepercayaan dan mandat untuk menerajui amanah itu,” katanya.
Muhammad Ridzuan, 42, memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.17 Bukit Katil pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, 14 November lalu.
Bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN), beliau memperoleh 15,305 undi dengan majoriti 6,607 undi dalam saingan empat penjuru, menewaskan antaranya penyandang, Adly Zahari daripada Pakatan Harapan (PH).
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

