
AB RAUF GARIS 3 LANDASAN UTAMA PACU PENTADBIRAN MELAKA
SERI NEGERI 19 November – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh menggariskan tiga landasan utama sebagai asas gerak kerja dan ukuran keberkesanan pentadbiran negeri sepanjang penggal baharu, merangkumi tadbir urus, pertumbuhan ekonomi serta kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata, pelantikan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bukan sekadar melengkapkan struktur pentadbiran, sebaliknya membentuk pasukan kepimpinan yang berani membuat keputusan, cekap melaksanakan tugas dan tegas menyelesaikan masalah.
“Bukan sekadar memimpin mesyuarat, tetapi pimpinlah penyelesaian. Tetapkan keutamaan, sasaran dan petunjuk prestasi yang jelas,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ucapan taat setia Istiadat Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, Kompleks Seri Negeri, di sini, hari ini.
Ab Rauf berkata, landasan pertama adalah memperkukuh tadbir urus dan kecekapan penyampaian perkhidmatan dengan memastikan setiap EXCO benar-benar menguasai portfolio masing-masing.
Pada masa sama, ujar beliau, penyelarasan antara jabatan, agensi dan JAPERUN perlu diperkukuh, selain budaya bekerja secara berasingan serta sikap saling menunggu tindakan perlu dihentikan.
“Birokrasi mesti menjadi pemudah cara, bukan tembok yang menghalang kemajuan,” katanya.
Landasan kedua pula adalah memacu pertumbuhan ekonomi dan mempercepat agenda pembangunan negeri menerusi usaha proaktif menarik pelaburan, mempercepat projek pembangunan serta merancakkan aktiviti ekonomi bagi membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan rakyat.
Bagi menjayakan hasrat itu, Ketua Menteri mahu hubungan strategik dengan kementerian dan agensi Kerajaan Persekutuan terus diperkukuh menerusi libat urus bagi mendapatkan sokongan dasar, kepakaran dan peruntukan.
Sementara itu, landasan ketiga memberi tumpuan kepada usaha memperkasa kesejahteraan rakyat melalui pendekatan turun padang dan penyelesaian berkesan.
“Inilah landasan yang paling dekat dengan jiwa saya. Setiap Exco dan seluruh Ahli Dewan Undangan Negeri mesti sentiasa dekat dengan rakyat, memahami denyut nadi masyarakat dan bertindak terhadap permasalahan mereka,” katanya.
Beliau berkata, ketiga-tiga landasan itu perlu menjadi panduan kepada barisan kepimpinan negeri dalam memastikan pentadbiran lebih cekap, pembangunan terus dipacu dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

