
NADARAJAH MULAKAN TUGAS EXCO DENGAN MESYUARAT BERSAMA AGENSI BELIA
SERI NEGERI 19 November – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gadek, S. Nadarajah akan mempengerusikan mesyuarat bersama agensi berkaitan belia sebagai langkah pertamanya selepas mengangkat sumpah sebagai Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melaka.
“Selepas ini saya akan mempengerusikan mesyuarat agensi-agensi yang terlibat dengan belia di bawah portfolio saya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Istiadat Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, Kompleks Seri Negeri, di sini, hari ini.
Nadarajah berkata, beliau juga mahu bekerjasama dengan Majlis Gabungan Belia Melaka (MGB Melaka) yang diterajui Datuk Khadhirah Abu Zahar dan Gerakan Belia 4B Malaysia yang dipimpin Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali bagi memperkukuh pembangunan belia di negeri ini.
“Saya kena bekerja dengan dua nama besar dan saya akan berusaha untuk meningkatkan serta membangunkan mutu belia dan sukan di seluruh Melaka,” katanya.
Ditanya mengenai persediaannya menggalas portfolio berkenaan, Nadarajah berkata, beliau akan meneliti bidang tugas itu bagi mengenal pasti langkah yang boleh diambil untuk membantu golongan belia.
“Saya pernah tengok selok-belok mengenai pembangunan belia dan sukan, tapi saya kena kaji selidik semula dan buat buat apa yang terbaik untuk belia Melaka,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh, atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk menggalas tanggungjawab itu.
Pada penggal lalu, portfolio berkenaan diterajui Datuk V.P. Shanmugam, yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Dalam penampilan sulungnya pada PRN 14 November lalu, Nadarajah, 51 mempertahankan kerusi Gadek untuk Barisan Nasional (BN) selepas memperoleh 6,472 undi dengan majoriti 3,514 undi dalam saingan empat penjuru.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


