BAN HONG MULAKAN LANGKAH TERAJUI PORTFOLIO KESIHATAN

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

SERI NEGERI 19 November – Mengadakan pertemuan bersama jabatan dan agensi berkaitan kesihatan bagi merangka pelan tindakan segera menjadi gerak kerja pertama Exco Kesihatan dan Modal Insan negeri, Datuk Lim Ban Hong.

Ban Hong berkata, pertemuan itu penting bagi menyelaras perancangan serta menetapkan hala tuju pelaksanaan tugas selaras dengan tempoh masa yang ditetapkan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh.

Menurutnya, pelantikan sebagai Exco merupakan amanah dan mandat besar yang memerlukan kerjasama semua pihak bagi memastikan setiap perancangan dapat dilaksanakan dengan teratur serta memberi manfaat kepada rakyat.

“Saya fikir gerak kerja pertama ialah kita akan berjumpa dengan jabatan dan agensi yang berkaitan dengan kesihatan dan merancang gerak kerja.

“Ketua Menteri juga telah memberi tempoh masa supaya kita dapat merancang dan mengeluarkan pelan tindakan dalam masa terdekat ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Istiadat Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, Kompleks Seri Negeri, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh; Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka, Datuk Khairul Azreem Mamat; Pegawai Kewangan Negeri Melaka, Datuk Md Azhan Samat serta Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Wira Abdul Halim Tawil.

Dalam pada itu, Ban Hong merakamkan penghargaan kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam; Ketua Menteri serta Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong atas kepercayaan diberikan kepadanya untuk menggalas tanggungjawab berkenaan.

Selain itu beliau turut menyifatkan pelantikan Datuk Ngwe Hee Sem sebagai Timbalan Exco Perancangan Ekonomi, Kewangan, Tanah, Pelaburan dan Industri sebagai satu lagi tanggungjawab yang akan memperkukuh kerjasama dalam barisan pentadbiran negeri.

Menurutnya, walaupun setiap Exco diberikan portfolio berbeza, kesemuanya perlu bergerak sebagai satu pasukan bagi membantu rakyat serta memastikan manifesto yang dibentangkan pada pilihan raya lalu dapat direalisasikan.

“Saya yakin dan percaya jawatan-jawatan yang dilantik ini merupakan satu amanah dan mandat yang diberi supaya kita dapat memberikan perkhidmatan yang baik kepada rakyat negeri Melaka.

“Saya fikir ini adalah satu pasukan yang boleh bekerja, membantu rakyat negeri Melaka dan bersama-sama merealisasikan manifesto yang sebelum ini kita lancarkan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

190
Kongsi :
Previous post MANDAT BAHARU BUKAN TIKET SELESA, AB RAUF TUNTUT KERAJAAN MELAKA BEKERJA LEBIH KERAS