
MOHD RIDHWAN KOMITED JAYAKAN MANIFESTO PENDIDIKAN, TVET
SERI NEGERI 19 November – Memastikan manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 berkaitan pendidikan, pengajian tinggi dan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dilaksanakan mengikut perancangan dalam tempoh 100 hari pertama menjadi keutamaan Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali selepas dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri yang baharu.
Mohd Ridhwan yang menerajui portfolio Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan TVET berkata, beliau akan meneliti setiap perancangan serta hala tuju portfolio berkenaan bagi memastikan segala agenda yang ditawarkan kepada rakyat dapat direalisasikan.
“Pertamanya, saya merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam serta Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh atas amanah serta kepercayaan yang diberikan ini.
“Insya-Allah saya akan cuba melakukan yang terbaik untuk membantu Kerajaan Negeri dalam memastikan manifesto yang diumumkan ketika pilihan raya dapat dilaksanakan dalam tempoh 100 hari pertama khususnya membabitkan portfolio yang diberikan kepada saya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, pada majlis yang berlangsung di Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, Seri Negeri, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka Datuk Khairul Azreem Mamat; Pegawai Kewangan Negeri Melaka Datuk Md Azhan Samat; Mufti Kerajaan Negeri Datuk Wira Abdul Halim Tawil serta lain-lain kenamaan.
Mengulas mengenai perancangan awal, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek itu berkata, beliau akan terlebih dahulu memperhalusi skop portfolio sebelum meneruskan kesinambungan dan melakukan penambahbaikan sekiranya perlu.
“Saya melihat portfolio ini mempunyai kesinambungan yang baik daripada perancangan pembelajaran di sekolah rendah, sekolah menengah, pengajian tinggi sehinggalah pengajian TVET dan akhirnya membolehkan mereka memasuki alam pekerjaan.
“Melihat kepada hala tuju Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri yang banyak memberikan penekanan kepada kemasukan industri baharu ke Melaka, portfolio ini tentunya berperanan sebagai penyedia tenaga kerja yang selari dan sepadan dengan keperluan industri.
“Tentunya selepas ini dalam hala tuju yang seterusnya kita akan berbincang bersama-sama Ketua Menteri termasuk agensi berkaitan dalam memastikan setiap perancangan dapat dilaksanakan secara tersusun,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

