
PELANTIKAN PENYELARAS DUN PEMBANGKANG DIPUTUSKAN KEMUDIAN
SERI NEGERI 19 November – Kerajaan Negeri akan membincangkan cadangan pelantikan penyelaras bagi empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi Pakatan Harapan (PH) selepas mesyuarat Exco diadakan.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, perkara itu akan diberi perhatian dalam perbincangan pentadbiran Kerajaan Negeri selepas barisan baharu Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dibentuk.
Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan sebarang keputusan berhubung perkara itu ketika ditanya mengenai kemungkinan pelantikan penyelaras DUN berkenaan.
“Hal itu nanti selepas kita mesyuarat pertama nanti minggu depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Istiadat Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, Kompleks Seri Negeri, di sini, hari ini.
Terdahulu, kesemua Exco yang dilantik mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka Datuk Khairul Azreem Mamat; Pegawai Kewangan Negeri Melaka Datuk Md Azhan Samat; Mufti Kerajaan Negeri Datuk Wira Abdul Halim Tawil serta lain-lain kenamaan.
Untuk rekod, empat DUN yang dimenangi PH pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 ialah Ayer Keroh, Kesidang, Kota Laksamana dan Bandar Hilir.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


