
BUKTIKAN KHIDMAT BAKTI, AZRIL FOKUS KERJASAMA KETUA KAMPUNG, PEMIMPIN KOMUNITI
REMBIA 19 November – Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rembia, Ahmad Norazril Abdul Aziz bertekad memberikan perkhidmatan terbaik susulan sokongan dan penerimaan positif dalam kalangan rakyat.
Menurutnya, maklum balas yang diterima ketika meluangkan masa bersarapan dan menyantuni penduduk setempat membuktikan pengundi menaruh harapan yang sangat tinggi terhadap keupayaannya memimpin serta membawa perubahan.
“Hari pertama dan hari ini saya sarapan di luar, alhamdulillah kebanyakannya memberikan harapan untuk saya membawa perkhidmatan yang baik. Khususnya dalam aspek khidmat kemudahan-kemudahan dan keperluan yang sewajarnya untuk masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rembia,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini ketika ditemui di Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Rembia, di sini, pada Selasa.
Ahmad Norazril menegaskan bahawa kelancaran perkhidmatan kepada rakyat sangat menuntut kerjasama erat dan kesepakatan daripada barisan kepimpinan di peringkat akar umbi.
Bagi memastikan setiap isu penduduk dapat diselesaikan dengan efektif, beliau merancang untuk segera mengadakan pertemuan bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta kepimpinan setempat, sejurus selepas urusan menyusun atur kakitangan dalaman di pejabat Japerun selesai.
Tegasnya, wakil rakyat dan kepimpinan kampung tidak boleh bergerak secara berasingan, sebaliknya perlu bekerja seiring memandangkan matlamat akhir kedua-dua entiti tersebut adalah sama iaitu berkhidmat demi kesejahteraan rakyat.
Selain itu Ahmad Norazril turut mengambil kesempatan menitipkan pesanan khusus buat seluruh warga Rembia agar terus berganding bahu bersamanya bagi memastikan kawasan tersebut tidak ketinggalan dari arus pembangunan.
Komitmen beliau untuk terus dekat dengan rakyat turut dibuktikan apabila beliau terus memulakan rutin menziarahi penduduk yang sakit dan ditimpa musibah sejurus selepas memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN), membuktikan khidmat baktinya berjalan secara berterusan tanpa perlu menunggu pelaksanaan misi 100 hari.
“Tentunya saya mengharapkan kerjasama sepenuhnya daripada kepimpinan sedia ada. Kita telah dipilih oleh rakyat dan tentunya khidmat bakti kita untuk masyarakat.
“Besar harapan saya agar semua dapat bekerjasama memastikan DUN Rembia tidak ketinggalan dari aspek pembangunan. Selepas selesai menyusun atur kakitangan Japerun, pertemuan dengan kepimpinan peringkat kampung akan segera diadakan,” tambahnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


