
GAJI PERTAMA DR. AKMAL UNTUK BAIK PULIH RUMAH NENEK
MERLIMAU 19 November – Seorang warga emas bakal menikmati kediaman lebih selesa apabila rumahnya yang uzur dan mengalami kerosakan akan dibaik pulih menggunakan gaji pertama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh bagi penggal baharu ini.
Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, keputusan itu dibuat selepas permohonan bantuan baik pulih rumah wanita berkenaan yang dikemukakan sebelum ini masih belum mendapat kelulusan.
Menurutnya, beliau tidak mahu warga emas itu terus menunggu memandangkan keadaan rumah yang semakin uzur, selain bimbang kerosakan bertambah serius akibat hujan dan cuaca tidak menentu ketika ini.
“Disebabkan kita sudah mohon tetapi masih belum lulus, insya-Allah gaji pertama saya sebagai wakil rakyat penggal ini kita gunakan untuk baik pulih rumah nenek,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasminya selepas mengadakan lawatan, pada Rabu.
Hasil lawatan tersebut mendapati beberapa bahagian kayu gelegar sudah reput dan patah dipercayai akibat air hujan yang meresap masuk, selain terdapat kebocoran pada bahagian bumbung.
Dalam video sama, beliau turut meminta warga emas berkenaan mendoakan segala urusannya dipermudahkan, selain berharap wanita itu dikurniakan kesihatan yang baik.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

