
EXCO BAHARU MELAKA MULA GERAK KERJA, MESYUARAT PERTAMA MINGGU DEPAN
SERI NEGERI 19 November – Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang pertama bagi penggal ke-16 dijadual berlangsung minggu depan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh.
Ia selepas brisan baharu Exco Kerajaan Negeri selepas mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, Kompleks Seri Negeri, di sini, hari ini.
Beliau berkata, mesyuarat berkenaan menjadi pertemuan pertama barisan Exco yang dilantik bagi menganggotai pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka untuk penggal baharu.
“Minggu depan mesyuarat Exco pertama,” katanya ringkas kepada pemberita selepas Istiadat Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka.
Istiadat berkenaan menyaksikan pelantikan barisan Exco baharu yang akan membantu Ketua Menteri menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri selepas PRN Melaka Ke-16.
Pelantikan itu menyaksikan seramai lima penyandang Exco dikekalkan, selain lima muka baharu dilantik bagi penggal ini.
Lima penyandang itu adalah Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh (BN-Merlimau); Datuk Rais Yasin (BN-Sungai Udang); Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman (BN-Telok Mas); Datuk Fairul Nizam Roslan (BN-Asahan) dan Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer (BN-Ayer Limau).
Sementara itu, lima muka baharu yang diberi kepercayaan menganggotai pentadbiran Kerajaan Negeri ialah Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali (BN-Ayer Molek); Datuk Wira Lim Ban Hong (BN-Kelebang); S Nadarajah (BN-Gadek); Datuk Khaidhirah Abu Zahar (BN-Rim) dan Muhammad Ridzuan Mohd Sarif (PN-Bukit Katil).
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

