AB RAUF MAHU EXCO KUASAI SELOK-BELOK PENTADBIRAN KERAJAAN

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

SERI NEGERI 19 November – Setiap Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka perlu memahami selok-belok keseluruhan pentadbiran kerajaan dan bukan hanya tertumpu kepada portfolio yang dipertanggungjawabkan kepada mereka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, pendekatan itu penting bagi memberikan pendedahan lebih menyeluruh kepada setiap Exco mengenai pelbagai bidang pengurusan dan pentadbiran Kerajaan Negeri.

Menurutnya, setiap anggota Exco perlu bersedia mempelajari tanggungjawab yang berbeza bagi memperluas pengalaman serta pengetahuan mereka sebagai persediaan menjadi pemimpin pada masa hadapan.

“Semua orang kena merasa tanggungjawab yang berbeza. Tidak seperti dahulu apabila seseorang Exco hanya memegang portfolio tertentu, kali ini mereka kena belajar semua untuk menjadi pemimpin pada masa depan.

“Mereka perlu tahu semua selok-belok pentadbiran kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas Istiadat Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, Kompleks Seri Negeri, di sini, hari ini.

Terdahulu, kesemua Exco yang dilantik mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka Datuk Khairul Azreem Mamat; Pegawai Kewangan Negeri Melaka Datuk Md Azhan Samat; Mufti Kerajaan Negeri Datuk Wira Abdul Halim Tawil serta lain-lain kenamaan.

Ab Rauf berkata, pendekatan berkenaan juga menjadi antara pertimbangan dalam membentuk barisan kepimpinan Exco bagi penggal baharu yang diyakini merupakan barisan mantap dan mampu memacu pentadbiran negeri ke arah lebih baik.

Sebelum ini, Ab Rauf mengumumkan senarai 10 barisan Exco Kerajaan Negeri yang baharu dengan mengekalkan lima penyandang dan menyenarai lima muka baharu.

Lima penyandang itu adalah Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh (BN-Merlimau); Datuk Rais Yasin (BN-Sungai Udang); Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman (BN-Telok Mas); Datuk Fairul Nizam Roslan (BN-Asahan) dan Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer (BN-Ayer Limau).

Sementara itu, lima muka baharu yang diberi kepercayaan menganggotai pentadbiran Kerajaan Negeri ialah Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali (BN-Ayer Molek); Datuk Wira Lim Ban Hong (BN-Kelebang); S Nadarajah (BN-Gadek); Datuk Khaidhirah Abu Zahar (BN-Rim) dan Muhammad Ridzuan Mohd Sarif (PN-Bukit Katil).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

107
Kongsi :
Previous post DI MELAKA SEMUA EXCO ‘KANAN’, TIADA PORTFOLIO KELAS KEDUA – KETUA MENTERI