DI MELAKA SEMUA EXCO ‘KANAN’, TIADA PORTFOLIO KELAS KEDUA – KETUA MENTERI

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

SERI NEGERI 19 November – Tiada pelantikan Exco Kanan dalam barisan baharu Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Melaka apabila semua Ahli Exco dianggap mempunyai kedudukan dan tanggungjawab sama dalam membantu pentadbiran negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, pendekatan itu berbeza berbanding sebelum ini apabila jawatan Exco Kanan diwujudkan susulan beliau mengambil alih kepimpinan Kerajaan Negeri di pertengahan penggal.

Menurutnya, kedudukan semua Exco dalam barisan baharu itu tidak dibezakan melalui gelaran Exco Kanan, sebaliknya setiap seorang diberikan tanggungjawab untuk melaksanakan portfolio masing-masing.

“Semua Exco ini semua Exco Kanan saya. Exco Kanan itu sebelum ini disebabkan saya mengambil jawatan di pertengahan penggal, kemudian jawatan yang saya pegang itu diletakkan kepada posisi lain.

“Jadi, Exco Kanan ini tidak timbul kerana semua Exco adalah Exco Kanan saya,” katanya kepada pemberita selepas Istiadat Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, Kompleks Seri Negeri, di sini, hari ini.

Terdahulu, kesemua Exco yang dilantik mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka Datuk Khairul Azreem Mamat; Pegawai Kewangan Negeri Melaka Datuk Md Azhan Samat; Mufti Kerajaan Negeri Datuk Wira Abdul Halim Tawil serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ab Rauf, pendekatan itu juga mencerminkan kepercayaan yang diberikan kepada setiap anggota Exco untuk memainkan peranan masing-masing dalam menjayakan agenda Kerajaan Negeri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

303
Kongsi :
Previous post GAJI PERTAMA DR. AKMAL UNTUK BAIK PULIH RUMAH NENEK
Next post AB RAUF MAHU EXCO KUASAI SELOK-BELOK PENTADBIRAN KERAJAAN