
100 HARI PERTAMA: AB RAUF MAHU JENTERA KERAJAAN SEGERA GERAK MANIFESTO
SERI NEGERI 19 November – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh mahu seluruh jentera Kerajaan Negeri segera menggerakkan pelaksanaan manifesto dalam tempoh 100 hari pertama bagi memastikan setiap komitmen kepada rakyat dapat direalisasikan.
Beliau berkata, setiap komitmen yang digariskan perlu disusuli pelan tindakan, garis masa serta penetapan pihak bertanggungjawab supaya pelaksanaannya dapat dipantau dan tidak sekadar menjadi janji.
“Atas kesedaran itu, dalam tempoh 100 hari pertama, saya mahu seluruh jentera kerajaan segera menggerakkan keutamaan manifesto. Setiap komitmen mesti mempunyai pelan tindakan, garis masa dan pihak yang bertanggungjawab.
“Tiada masa untuk berlengah, kerana amanah rakyat tidak boleh dibiarkan menunggu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ucapan taat setia Istiadat Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, Kompleks Seri Negeri, di sini, hari ini.
Ab Rauf berkata, iltizam Kerajaan Negeri adalah untuk membina Melaka sebagai negeri maju, pintar dan bersih, disokong ekonomi berdaya saing, pelaburan berkualiti serta peluang pekerjaan lebih baik untuk rakyat.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kemajuan negeri tidak seharusnya hanya dinilai berdasarkan angka dan pembangunan fizikal, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui manfaat yang benar-benar dirasai rakyat.
“Kemajuan sebenar adalah apabila rakyat merasai manfaatnya, pendapatan meningkat, beban kehidupan berkurang dan kesejahteraan terus terpelihara,” katanya.
Beliau berkata, usaha memastikan kemajuan itu dinikmati rakyat perlu menjadi keutamaan dalam setiap perancangan dan pelaksanaan dasar Kerajaan Negeri, selain memastikan masa depan generasi akan datang lebih terjamin.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

