KEBAJIKAN ASNAF, MUALAF JADI KEUTAMAAN – RAIS

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

PENGKALAN BATU 19 November – Kebajikan golongan asnaf, mualaf dan pelajar menjadi antara keutamaan dalam usaha memperkukuh peranan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), kata Exco Agama, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Kos Sara Hidup negeri Datuk Rais Yasin.

Rais berkata, MAIM akan terus menjadi antara fokus utama dalam memastikan bantuan dan kebajikan masyarakat Islam di negeri ini dapat dipertingkatkan, termasuk mengenal pasti ruang penambahbaikan bagi memastikan lebih ramai golongan memerlukan mendapat manfaat.

Menurutnya, beliau dimaklumkan MAIM akan melaksanakan program bantuan persekolahan menerusi agihan zakat seawal hujung minggu ini sebagai antara usaha membantu persiapan pendidikan golongan yang memerlukan.

“Sudah tentu MAIM memang antara pokok asas, core business MAIM itu sendiri adalah kebajikan dari segala sudut.

“Jadi, aspek kebajikan di bawah MAIM akan kita tekankan lagi dan kalau ada ruang yang boleh ditambah baik, kita akan tambah baik untuk semua lapisan masyarakat termasuk asnaf, pelajar dan mualaf,” katanya.

Beliau yang turut diiringi isteri Datin Ernie Adilia Karim berkata demikian kepada pemberita selepas selesai mengadakan kunjungan dan ‘clock in’ di Balai Islam MAIM di Bukit Palah, di sini, hari ini.

Hadir sama Mufti Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil dan Setiausaha MAIM Shaifulfazlee Mohamad.

Rais berkata, beliau juga mahu memastikan agenda turun padang diberi penekanan bagi membolehkan masyarakat merasai kehadiran kerajaan negeri, selain memastikan bantuan yang disediakan sampai kepada golongan sasaran.

“Hasrat Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh supaya semua pihak berkaitan sentiasa mendekati masyarakat akan menjadi antara keutamaan saya dalam melaksanakan tanggungjawab menerajui portfolio ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

86
Kongsi :
Previous post NIKMAT KEMAJUAN MESTI DIRASAI SETIAP RAKYAT – AB RAUF
Next post HAMEED MAHU PERKUKUH INFRASTRUKTUR ASAS, TANGANI RISIKO BANJIR