PORTFOLIO BAHARU, CABARAN BERBEZA BUAT KHAIDHIRAH

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

SERI NEGERI 20 November – Pertukaran daripada portfolio pelaburan, perindustrian dan pembangunan TVET kepada Pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat menjadi cabaran baharu buat Datuk Khaidhirah Abu Zahar.

Khaidhirah berkata, pelantikan sebagai Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri membuka peluang buat dirinya untuk memperluas pengetahuan termasuk pengalaman dalam bidang pembangunan sosial, khususnya berkaitan kepentingan serta kebajikan wanita, keluarga dan masyarakat.

Menurutnya,ย  portfolio baharu itu memerlukan beliau mempelajari pelbagai perkara serta menyesuaikan diri dengan skop tanggungjawab yang berbeza.

“Ini satu perkara yang bagus untuk saya kerana memberi ruang lebih luas untuk mempelajari banyak perkara.

“Jika sebelum ini saya membantu Ketua Menteri dalam portfolio pelaburan, perindustrian dan pembangunan TVET tetapi kali ini saya diberi tanggungjawab dalam pembangunan wanita dan keluarga,” katanya.Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, pada majlis yang berlangsung di Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, Seri Negeri, di sini, pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Penasihat Undang-Undang Negeri Melaka Datuk Khairul Azreem Mamat; Pegawai Kewangan Negeri Melaka Datuk Md Azhan Samat; Mufti Kerajaan Negeri Datuk Wira Abdul Halim Tawil serta lain-lain kenamaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rim itu berkata, pengalaman mengendalikan portfolio pembangunan TVET sebelum ini turut mengajarnya kepentingan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri bersama banyak agensi dalam merangka serta melaksanakan dasar yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Dulu ketika diberikan mandat untuk menjaga TVET misalnya, saya tidak mempunyai pengetahuan dan pengalaman yang banyak tetapi Alhamdulillah dengan kepercayaan diberikan kita bersama-sama membentuk dasar dengan sebaiknya.

“Jadi dengan portfolio baharu ini pastinya kerjasama erat dengan agensi terlibat juga diteruskan malah sekiranya perlu pembaharuan demi manfaat untuk rakyat kita akan laksanakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

188
Kongsi :
Previous post DARIPADA TEKNOLOGI KE PELANCONGAN, FAIRUL NIZAM SAHUT CABARAN BAHARU