
DARIPADA TEKNOLOGI KE PELANCONGAN, FAIRUL NIZAM SAHUT CABARAN BAHARU
SERI NEGERI 20 November – Peralihan daripada portfolio Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital kepada Pelancongan, Warisan, Budaya dan Perpaduan disifatkan sebagai cabaran baharu buat Datuk Dr. Fairul Nizam Roslan.
Beliau berkata, pelantikan itu pada awalnya agak mengejutkan kerana bidang berkenaan berbeza daripada portfolio yang dikendalikannya sebelum ini.
Bagaimanapun, beliau melihat tanggungjawab baharu itu sebagai peluang menimba ilmu serta pengalaman dalam bidang berbeza, khususnya berkaitan industri pelancongan negeri.
“Pertama, saya agak terkejut dengan amanah yang diberikan ini. Dahulu kita menguruskan Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) serta turun ke bawah dan sebagainya, tetapi dalam sektor pelancongan ini pun sama.
“Satu cabaran, cabaran baharu, ilmu baharu. Insya-Allah, Melaka akan bertambah maju,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Melaka Hari Ini selepas Istiadat Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, Kompleks Seri Negeri, di sini, hari ini.
Fairul Nizam berkata, beliau akan mendapatkan bimbingan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh dalam melaksanakan amanah berkenaan.
Pelantikan itu menyaksikan beliau turut diberikan tanggungjawab menerajui portfolio yang turut merangkumi aspek warisan, budaya dan perpaduan masyarakat.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

